Washington: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mendedahkan teks rasmi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dicapai dengan Iran pada hujung minggu lalu.
Dokumen 14 perkara itu dibacakan oleh seorang pegawai kanan pentadbiran AS dan menggariskan beberapa peruntukan utama termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, pelonggaran beberapa sekatan kewangan terhadap Iran serta hala tuju perbincangan teknikal berhubung program nuklear negara berkenaan.
Dokumen berkenaan diberi tajuk “Memorandum Persefahaman Islamabad antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran” dan didedahkan kepada umum selepas timbul kritikan kerana kandungannya tidak disiarkan secara terbuka sebelum ini.
Menurut pegawai kanan AS itu, memorandum berkenaan pada asasnya bertujuan membolehkan Selat Hormuz dibuka semula dengan segera, memastikan Iran melaksanakan langkah-langkah berkaitan stok bahan nuklearnya serta mewujudkan mekanisme yang membolehkan Washington melonggarkan sekatan ekonomi secara berperingkat sekiranya Tehran mematuhi komitmen yang dipersetujui.
“Perjanjian ini pada asasnya membolehkan kita membuka Selat Hormuz dengan segera, mendapatkan komitmen Iran untuk memusnahkan bahan sisa nuklear, dan menyediakan mekanisme yang membolehkan pelonggaran sekatan serta bantuan ekonomi diberikan sekiranya Iran menunjukkan pematuhan yang baik,” katanya.
Memorandum itu dijadual ditandatangani secara rasmi pada Jumaat, sekali gus membuka tempoh rundingan selama 60 hari bagi memuktamadkan syarat-syarat perjanjian akhir antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, CNN melaporkan mengenai draf perjanjian yang mengandungi syarat-syarat utama memorandum tersebut. Bagaimanapun, teks rasmi yang dikeluarkan oleh AS didapati hampir sama dengan draf berkenaan, namun mengandungi beberapa perbezaan dari segi bahasa dan perincian.
Antara perbezaan utama ialah kemasukan istilah “kaedah minimum” bagi meneutralkan stok uranium yang diperkaya pada tahap tinggi milik Iran. Kaedah itu melibatkan proses mengurangkan tahap pengayaan uranium di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sesuatu yang tidak dinyatakan dalam draf yang dilaporkan sebelum ini.
Pendedahan dokumen itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha kedua-dua negara meredakan ketegangan serta membuka ruang kepada rundingan lebih menyeluruh berkaitan isu keselamatan serantau, ekonomi dan program nuklear Iran.
Berikut adalah intipati 14 perkara yang terkandung dalam memorandum berkenaan:
- Penamatan perang dan operasi ketenteraan
AS dan Iran bersetuju menamatkan serta-merta dan secara kekal semua operasi ketenteraan di semua medan konflik, termasuk di Lubnan. Kedua-dua pihak juga berjanji tidak akan melancarkan peperangan atau tindakan ketenteraan terhadap satu sama lain pada masa hadapan.
- Hormati kedaulatan negara
Kedua-dua negara berjanji menghormati kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing serta tidak campur tangan dalam urusan dalaman satu sama lain.
- Rundingan perjanjian akhir dalam tempoh 60 hari
AS dan Iran komited untuk mencapai perjanjian akhir dalam tempoh maksimum 60 hari dengan pilihan lanjutan jika dipersetujui bersama.
- Penamatan sekatan laut oleh AS
AS akan mula menamatkan sekatan laut terhadap Iran sejurus memorandum ditandatangani dan akan menamatkannya sepenuhnya dalam tempoh 30 hari. Washington juga bersetuju mengurangkan kehadiran tenteranya berhampiran Iran selepas perjanjian akhir dimeterai.
- Pembukaan semula Selat Hormuz
Iran akan memastikan laluan kapal komersial melalui Selat Hormuz dibuka semula tanpa sebarang caj selama 60 hari. Kerja-kerja pembersihan periuk api dan pemulihan laluan perkapalan akan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari.
- Pelan pembangunan ekonomi AS$300 bilion
AS bersama rakan serantaunya akan membangunkan pelan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion.
- Penamatan sekatan terhadap Iran
Washington berjanji menamatkan semua bentuk sekatan terhadap Iran, termasuk sekatan unilateral AS serta sekatan yang melibatkan Majlis Keselamatan PBB dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), mengikut jadual yang dipersetujui.
- Komitmen Iran terhadap isu nuklear
Iran mengulangi pendiriannya untuk tidak memperoleh atau membangunkan senjata nuklear. Kedua-dua pihak juga bersetuju membincangkan kaedah pengurusan stok uranium diperkaya di bawah pengawasan IAEA.
- Kekalkan status quo sementara rundingan berlangsung
Iran akan mengekalkan status semasa program nuklearnya, manakala AS tidak akan mengenakan sekatan baharu atau menambah kekuatan tenteranya di rantau berkenaan.
- Kelonggaran eksport minyak Iran
Jabatan Perbendaharaan AS akan mengeluarkan pengecualian bagi membolehkan eksport minyak mentah Iran, produk petroleum dan perkhidmatan berkaitan diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan memorandum.
- Pelepasan aset dan dana Iran
AS bersetuju membolehkan dana dan aset Iran yang dibekukan sebelum ini digunakan semula mengikut prosedur yang dipersetujui bersama semasa rundingan.
- Penubuhan mekanisme pemantauan
Kedua-dua negara akan menubuhkan mekanisme khas bagi memantau pelaksanaan memorandum dan memastikan pematuhan terhadap perjanjian akhir.
- Rundingan lanjut selepas pelaksanaan awal
AS dan Iran akan memulakan rundingan mengenai perkara-perkara lain dalam perjanjian akhir selepas beberapa komitmen utama memorandum mula dilaksanakan.
- Pengesahan oleh Majlis Keselamatan PBB
Perjanjian akhir yang dicapai kelak akan disahkan menerusi resolusi mengikat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Memorandum berkenaan dijangka ditandatangani secara rasmi dalam masa terdekat dan dianggap sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan antara Washington dan Tehran, selain memberi impak besar kepada keselamatan serantau, perdagangan global dan pasaran tenaga dunia.
Kredit sumber: CNN
