MALAYSIA amat tersohor sebagai negara unggul menjunjung nilai kemanusiaan merentas bangsa, agama atau kewarganegaraan. Contoh paling utama adalah kesediaan Kuala Lumpur menerima pelarian Vietnam dan Kemboja pada 1970-an dan kemudian pelarian Rohingya.
Sebagai negara berperikemanusiaan, Malaysia membuka ruang perlindungan dan pelbagai bantuan kemanusiaan melalui agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada etnik Rohingya yang melarikan diri daripada pembantaian junta tentera Myanmar.
Namun timbul persoalan apabila segelintir individu atau kumpulan Rohingya yang menikmati perlindungan di negara ini menerusi ‘tangan’ Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mula ‘besar kepala’ seperti mengeluarkan kenyataan mencemarkan imej Malaysia di pentas antarabangsa.
Sejak beberapa minggu ini, terdapat etnik Rohingya di dalam dan luar negara, termasuk mereka yang pernah berlindung di negara ini mengkritik Malaysia dan menghasut secara terbuka di media sosial, kononnya mereka ditindas di negara ini.
Apabila etnik berstatus pelarian berani mencabar kedaulatan Malaysia dengan melemparkan pelbagai kritikan dan penghinaan serta membentuk naratif kebencian, ia tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Ibarat diberi madu, tetapi dibalas tuba.
Sikap etnik Rohingya bagai ‘kaduk naik junjung’ ini amat dikesali. Mereka jelas tidak sedar budi diberikan kepada mereka walaupun Malaysia bukan negara menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.
Ketika rakyat Malaysia turut berdepan cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan dan tekanan terhadap kemudahan awam, nasib etnik berkenaan tetap terbela. Masyarakat Malaysia tetap menunjukkan sikap belas tinggi terhadap pelarian Rohingya.
Atas sebab itu, tindakan segelintir etnik Rohingya menghina dan mengkritik negara tanpa asas bukan sahaja tidak wajar, malah mendedahkan sifat lupa diri mereka atau ‘kacang lupakan kulit’ etnik itu pada negara yang membantu mereka selama ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu meneliti sekiranya terdapat unsur hasutan, fitnah atau penyebaran maklumat palsu boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Pada masa sama, Kementerian Luar perlu memainkan peranan menjelaskan pendirian Malaysia kepada masyarakat antarabangsa supaya fakta sebenar tidak tenggelam dalam kempen persepsi tidak tepat dihebohkan etnik Rohingya ini.
NGO tempatan, badan profesional dan parti sewajarnya bersatu mempertahankan maruah negara apabila berdepan dakwaan tidak berasas digerakkan etnik Rohingya ini. Ia bukan lagi soal menolak prinsip kemanusiaan, tetapi mempertahankan kedaulatan serta nama baik Malaysia.
UNHCR pula perlu bersikap secara adil dan seimbang. Sebarang laporan atau kenyataan berkaitan pelarian hendaklah mengambil kira sumbangan serta beban ditanggung negara tuan rumah, bukan hanya menonjolkan satu sisi naratif.
Membantu mereka yang menjadi pelarian adalah tanggungjawab moral, tetapi etnik Rohingya patut lebih beradab di negara ini, bukan ‘menggigit tangan orang menyuap makanan’.
Kredit sumber: Minda Pengarang, Berita Harian
