SELAYANG: “Arwah sepatutnya azan Isyak, tetapi hari itu dia minta azan Maghrib. Selepas selesai azan, dia terus rebah,” kata Jailani Talib, 64, mengimbau detik terakhir anaknya, Ahmad Haziq, 33, yang meninggal dunia sejurus selesai melaungkan azan Maghrib pada Ahad lalu.
Jenazah Allahyarham yang bertugas sebagai bilal di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru jam 11.30 pagi semalam.
Lebih menyentuh hati, solat jenazah Allahyarham yang dihadiri ratusan jemaah itu diimamkan sendiri oleh Jailani.
Jailani berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada pihak masjid, anaknya sempat menghabiskan laungan azan sebelum rebah, tidak sedarkan diri.
“Menurut nazir dan jemaah yang berada di masjid ketika itu, arwah sempat menyempurnakan azan sehingga selesai. Kalimah terakhir ‘La Ilaha Illallah’ yang dilafazkannya adalah penutup azan sebelum dia rebah.
“Ketika kejadian, saya berada di rumah sebelum menantu hubungi saya memaklumkan arwah pengsan. Saya kemudian terus bergegas ke masjid yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah.
“Sebaik tiba di masjid, saya terus menaiki ambulans yang membawa Allahyarham ke hospital sebelum doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.
Pernah pasang stent 9 tahun lalu
Anak ketiga daripada lima beradik itu ada sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani prosedur pemasangan stent kira-kira sembilan tahun lalu.
“Bagaimanapun, selepas itu arwah menjalani kehidupan seperti biasa dengan aktif bekerja, mengajar dan menjalankan tugas sebagai bilal,” katanya.
Berkongsi perwatakan anaknya itu, Allahyarham dikenali sebagai seorang yang ceria, mudah mesra, merendah diri dan sentiasa ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.
“Selain amat rapat dengan keluarga, dia memang seorang yang periang dan tidak pernah lokek dengan senyuman. Sama ada bersama keluarga mahupun rakan-rakan, dia sentiasa ceria dan suka membantu.
“Apabila dia pergi, saya sendiri terkejut melihat begitu ramai yang hadir memberikan penghormatan terakhir. Ada yang datang sebagai rakan, bekas anak murid, kenalan NGO dan anggota masyarakat yang pernah mengenalinya,” katanya.
Selain dikenali sebagai bilal yang komited, ramai memuji suara anaknya yang disifatkan memiliki ‘suara komersial’.
“Ramai yang mengatakan suaranya sangat sedap didengar apabila melaungkan azan dengan gayanya yang tersendiri. Jika dia berselawat atau membaca doa, orang ramai mudah mengenali suaranya,” katanya.
Sebagai seorang bapa, Jailani mengakui bangga apabila Allahyarham memilih untuk memanfaatkan anugerah suara yang dimilikinya ke arah dakwah serta memberi manfaat kepada agama dan masyarakat.
“Arwah menggunakan bakat dan perwatakannya yang disenangi ramai dalam pelbagai aktiviti dakwah dan badan bukan kerajaan (NGO) yang disertainya.
“Dia juga aktif melatih kumpulan qasidah, mengajar al-Quran dan sering dijemput memimpin bacaan doa serta selawat dalam pelbagai program,” katanya.
Jailani berkata, ramai juga memaklumkan cemburu dengan cara pemergian Allahyarham yang amat jarang berlaku.
“Walaupun kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh keluarga, kami reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana Allahyarham meninggalkan legasi kebaikan yang akan terus dikenang oleh masyarakat,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
