KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempergiat usaha melahirkan generasi muda yang berintegriti menerusi pelaksanaan projek rintis penubuhan Kadet SPRM di sekolah sebagai langkah menyemai budaya membenci rasuah sejak usia muda.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, inisiatif itu akan dimulakan secara berperingkat melalui beberapa sekolah terpilih sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Menurutnya, projek perintis berkenaan akan membabitkan sebuah sekolah di Putrajaya atau Kuala Lumpur serta sebuah sekolah luar bandar di Terengganu sebelum diperluaskan ke negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.
“Projek ini akan dimulakan secara kecil-kecilan terlebih dahulu sebelum diperluaskan mengikut kesesuaian dan kemampuan semasa. Sabah dan Sarawak juga berpotensi menjadi antara rakan strategik dalam menjayakan inisiatif ini pada masa akan datang,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Sabah, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, semalam.
Beliau berkata, usaha pendidikan dan kesedaran antirasuah perlu diteruskan meskipun berdepan kekangan kewangan serta ketidaktentuan ekonomi semasa.
Sementara itu, katanya, semua warga SPRM perlu mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan memastikan setiap peruntukan yang diterima digunakan secara optimum tanpa menjejaskan keberkesanan pelaksanaan program organisasi.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kita perlu lebih berdisiplin dalam mengurus perbelanjaan. Namun, kekangan kewangan tidak boleh menjadi alasan untuk memperlahankan usaha mendidik masyarakat mengenai bahaya rasuah.
“Yang penting mesej pencegahan rasuah perlu diteruskan dan sampai kepada rakyat walaupun program dilaksanakan dalam skala yang lebih kecil serta kos lebih rendah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pejabat SPRM negeri memperluaskan kerjasama strategik dengan universiti, institusi pendidikan, syarikat berkaitan kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan termasuk mengadakan sesi dialog bagi membolehkan program kesedaran antirasuah dilaksanakan secara lebih meluas dan berkesan.
Menurutnya, pendekatan kolaboratif bukan sahaja mampu mengurangkan kos pelaksanaan program, malah dapat memperluaskan capaian mesej antirasuah kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Abd Halim berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi serta komitmen warga SPRM Sabah yang disifatkan mempunyai semangat kerja berpasukan yang tinggi dan sentiasa komited dalam melaksanakan amanah organisasi.
Lawatan ke Sabah itu adalah siri lawatan negeri ketiga beliau sejak dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas Selangor dan Terengganu, dengan objektif meninjau operasi, mendengar pandangan warga kerja serta memperkukuh hubungan antara kepimpinan tertinggi dan pejabat negeri.
Beliau turut meluangkan masa melawat projek pembangunan bangunan baharu SPRM Sabah di Jalan Sepanggar yang kini hampir 90 peratus siap.
Kredit sumber: Berita Harian
