KOTA KINABALU, 18 Jun 2026 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru gerakan koperasi di negeri ini supaya berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu memberikan nilai tambah kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri.
Beliau berkata, dalam persekitaran ekonomi dan teknologi yang semakin mencabar serta kompetitif, koperasi tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada model perniagaan tradisional, sebaliknya perlu terus berinovasi bagi memastikan daya saing dan kelangsungan pertumbuhan.
Menurutnya, langkah transformasi itu akan membolehkan koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan serta memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul sejajar dengan perubahan semasa.
“Kerajaan Negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus memperkukuhkan tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.
“Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri sekiranya sentiasa bersedia berubah mengikut keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, KOPEKS wajar dijadikan contoh kerana keberaniannya melakukan transformasi daripada hanya menjalankan perniagaan kredit kepada pelbagai sektor strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.
Katanya, antara bidang yang diceburi koperasi itu termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu, sektor kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan, import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.
Menurut beliau, penerbitan Kinabalu Media membuktikan komitmen KOPEKS dalam memperkukuhkan budaya ilmu dan menyediakan platform penyampaian maklumat yang sahih kepada masyarakat, selain menjadi satu sumbangan penting kepada industri persuratkhabaran di Sabah.
“Dalam era media digital yang berkembang pesat, penerbitan bercetak masih mempunyai peranan penting dalam menyediakan laporan yang lebih mendalam, analisis berkualiti dan dokumentasi pelbagai isu semasa.
“Kerajaan Negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan negeri serta memperkukuhkan perpaduan rakyat, termasuk menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.
Mengulas perkembangan sektor kesihatan yang diterokai KOPEKS, Hajiji berkata langkah koperasi itu mengambil alih beberapa klinik swasta membolehkan anggota menikmati kemudahan rawatan pada kadar yang lebih berpatutan.
Beliau berkata, usaha itu membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses.
Pada masa sama, beliau menyambut baik cadangan KOPEKS untuk menubuhkan pusat dialisis memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan tersebut terus meningkat dengan jumlah pesakit buah pinggang di Sabah kini melebihi 2,000 orang.
Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini telah menyumbangkan 100 unit mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah pada tahun 2024 bagi memperluaskan akses rawatan kepada rakyat.
“Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan nanti dapat menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu meringankan beban pesakit,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata langkah KOPEKS meneroka bidang import dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, merupakan strategi tepat untuk membuka peluang perdagangan rentas sempadan, memperluaskan pasaran produk tempatan dan mengukuhkan jaringan kerjasama serantau.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif, mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan KOPEKS atas pencapaian keuntungan yang memberangsangkan sepanjang tahun 2025 serta kejayaan mengekalkan pembayaran dividen kepada anggota secara konsisten selama 20 tahun berturut-turut.
Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan kecekapan tadbir urus dan pengurusan kewangan koperasi, sekali gus memastikan manfaat dapat terus dinikmati oleh para anggota.
Pada masa yang sama, beliau menyeru lebih ramai penjawat awam khususnya generasi muda untuk menyertai KOPEKS bagi memperkukuhkan kedudukan koperasi berkenaan sebagai model koperasi berjaya yang bukan sahaja membangunkan ekonomi anggotanya, malah turut menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh. – DAKWAT RAKYAT POST
