TAWAU, 19 Jun 2026 – Kerajaan Sabah merancang membina Stadium Likas Dua di kawasan Likas sebagai alternatif kepada Kompleks Sukan Likas sedia ada dalam usaha memperkukuhkan infrastruktur sukan negeri serta memenuhi keperluan penganjuran acara sukan berskala besar pada masa hadapan.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan pembinaan stadium baharu itu telah mendapat kelulusan Kabinet Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurut beliau, projek berkenaan kini berada pada peringkat perincian reka bentuk sebelum pelaksanaan pembinaannya dimulakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Untuk makluman semua, Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji melalui Kabinet Negeri telah meluluskan pembinaan Stadium Likas Dua yang akan dibina di Likas.
“Pada masa ini, projek tersebut berada dalam peringkat perincian berkaitan reka bentuk dan mudah-mudahan ia akan menjadi realiti dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang untuk memulakan pembinaannya sebagai salah satu pilihan dan alternatif selain Kompleks Sukan Likas yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara Pasukan Pilihan Tawau dan Pasukan Sabah Bawah 20 Tahun di Kompleks Sukan Tawau, pada Rabu.
Nizam berkata, pembinaan Stadium Likas Dua akan memberi pilihan tambahan kepada negeri dalam menyediakan kemudahan sukan yang lebih moden dan lengkap, selain meningkatkan kapasiti Sabah untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan sukan bertaraf tinggi.
Katanya, projek berkenaan juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk mempertingkatkan pembangunan sukan serta menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada atlet dan penggiat sukan di Sabah.
Beliau berkata, kemudahan baharu itu dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan bakat sukan tempatan selain membantu memperkukuhkan ekosistem sukan negeri secara keseluruhan.
Kerajaan Sabah optimis pembinaan Stadium Likas Dua dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan yang lebih progresif dan berdaya saing di negeri ini. – DAKWAT RAKYAT POST
