TAWAU, 19 Jun 2026 – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang diumumkan hari ini membawa pelbagai kisah kejayaan membanggakan, termasuk pencapaian pasangan kembar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang hasil usaha gigih dan semangat saling menyokong antara satu sama lain.
Pasangan kembar, Jessie Hiew Jin Shi dan Jenese Hiew Jin Chi, muncul antara pelajar yang mencuri perhatian di Kolej Tingkatan Enam Tawau selepas kedua-duanya berjaya meraih keputusan 4A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
Menurut mereka, latar belakang keluarga sederhana menjadi sumber motivasi utama untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi mengubah masa depan keluarga.
“Kami berasal daripada keluarga B40. Keadaan itu mendorong kami untuk belajar dengan lebih tekun supaya dapat mengubah kehidupan keluarga kami pada masa hadapan.
“Menjelang peperiksaan, kami sentiasa belajar bersama dan saling memberi semangat antara satu sama lain untuk memastikan kami memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM,” kata mereka.
Kedua-dua beradik itu juga berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama dan bercita-cita menjadi akauntan pada masa hadapan.
Sementara itu, kejayaan seorang lagi pelajar cemerlang, Nurziatul Zahara Jamrin, turut mencuri perhatian apabila beliau berkongsi kegembiraan bersama ibunya yang hadir pada majlis pengumuman keputusan tersebut.
Menurut Nurziatul, detik paling bermakna baginya adalah apabila dapat membawa ibunya naik ke pentas ketika menerima anugerah pelajar cemerlang.
Beliau berkata, kejayaan yang diraih adalah hasil usaha berterusan sepanjang tempoh pengajian selain menitikberatkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.
“Sudah tentu saya sangat bersyukur dengan keputusan yang diperoleh. Segala usaha dan pengorbanan sepanjang satu tahun enam bulan belajar akhirnya membuahkan hasil.
“Saya sentiasa belajar bersama rakan-rakan dan berusaha bersungguh-sungguh. Bagi saya, hubungan dengan Allah perlu dijaga terlebih dahulu di samping menjaga hubungan sesama manusia. Jangan sesekali meninggalkan solat,” katanya.
Bagi Nur Aziela Arazsyiqien Azmin pula, cabaran terbesar sepanjang menduduki STPM adalah ketika menghadapi peperiksaan ulangan bagi beberapa subjek dalam tempoh yang singkat.
Beliau berkata, tekanan yang dihadapi ketika itu cukup mencabar kerana perlu membuat persediaan serentak bagi beberapa subjek termasuk Pengajian Am dan Bahasa Melayu.
“Cabaran paling sukar adalah ketika menjalani peperiksaan ulangan. Saya perlu mengulang tiga subjek dan dalam masa yang sama membuat persediaan untuk peperiksaan lain.
“Masa yang diberikan sangat singkat dan padat, sedangkan subjek yang diambil memerlukan daya ingatan yang kuat serta komitmen belajar yang tinggi. Itu antara tempoh paling mencabar yang pernah saya lalui,” katanya.
Namun, segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperoleh keputusan yang melepasi sasaran awalnya.
Dalam pada itu, Kolej Tingkatan Enam Tawau terus membuktikan kecemerlangannya apabila muncul sebagai antara tiga institusi Tingkatan Enam terbaik di Sabah berdasarkan pencapaian STPM 2025.
Seramai 17 pelajar berjaya memperoleh PNGK 4.00 dengan keputusan penuh 4A, manakala 48 pelajar lagi mencatat keputusan antara PNGK 3.59 hingga 3.92.
Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan prestasi keseluruhan kolej berkenaan berada pada tahap cemerlang dan terus melahirkan pelajar berkualiti untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. – DAKWAT RAKYAT POST
