SANDAKAN – Seorang lelaki warga asing tanpa dokumen dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan serta menyamun seorang wanita warga emas.
Bagaimanapun, pertuduhan berasingan membabitkan dakwaan rogol terhadap tertuduh masih belum direkodkan selepas mahkamah menolak pengakuan bersalah yang dikemukakan sementara menunggu laporan kesihatan terkini mangsa.
Tertuduh, Alimanja Aroiski, 19, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Roslinda Razali, turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan tertuduh pada 21 Mac lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh dipercayai memasuki rumah mangsa berusia 64 tahun melalui tingkap sebuah kediaman di Taman Megah, Batu 7, Sandakan kira-kira jam 1.30 pagi pada 21 Mac.
Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa mencederakan mangsa sebelum melarikan beberapa barangan berharga termasuk seutas gelang emas dan dua telefon bimbit dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM20,000.
Bagi pertuduhan rogol mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan terkini mangsa.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut termasuk proses pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jasmin Walter.
