Los Angeles: Mungkin ramai tidak menyedari kebanyakan kasut bola pemain yang beraksi di Piala Dunia 2026 berwarna merah jambu.
Ini dapat dilihat seawal perlawanan pertama di antara Mexico dengan Afrika Selatan minggu lalu yang menyaksikan majoriti pemain dilihat memakai kasut warna hampir sama.
Trend itu berterusan sepanjang kejohanan setakat ini dengan hampir setiap perlawanan peringkat kumpulan setakat ini didominasi pilihan kasut bola berwarna terang tersebut.
Sebagai antara acara televisyen terbesar di dunia, Piala Dunia menjadi pentas utama untuk pengeluar kasut bola memperkenalkan rekaan terbaharu mereka kepada jutaan penonton di seluruh dunia.
Ini bermakna kebanyakan pemain yang bertanding biasanya mempunyai kontrak penajaan bernilai tinggi dan dibekalkan model terkini untuk dipakai di pentas terbesar bola sepak.
Musim panas ini, kebetulan ketiga-tiga jenama utama Nike, Adidas dan Puma memilih warna merah jambu sebagai identiti utama rekaan mereka selepas kajian Nike mendapati atlet berasa lebih yakin apabila memakai kasut bola yang terang dan berani.
“Apa yang kami dengar secara konsisten daripada atlet dan pengguna, khususnya untuk detik besar, ialah warna terang memberi keyakinan, jadi itulah titik permulaan kami,” kata Odinga Nimako, pegawai kanan pasukan kasut bola sepak global Nike kepada The Athletic.
“Cara kami mendekatinya ialah dengan melihat warna paling menyerlah, warna yang benar-benar meningkatkan keyakinan, dan merah jambu salah satunya.
“Apa yang sering kami dengar daripada pengguna dan atlet ialah apabila anda memakai warna seperti merah jambu yang sangat terang dan menonjol, ia seolah-olah menunjukkan anda perlu cukup bagus untuk memakainya. Pada masa sama, warna merah jambu kini lebih diterima ramai dan tidak lagi dianggap terlalu khusus untuk kelompok tertentu.”
Satu lagi faktor penting ialah warna merah jambu terang memang mudah menonjol. Bukan sahaja kontras dengan padang hijau, malah tiada satu pun daripada 48 pasukan Piala Dunia memakai jersi merah jambu, jadi kasut itu sentiasa kelihatan jelas.
Nimako menjelaskan Nike sudah menguji beberapa pilihan, namun tiada yang memberi impak visual sekuat merah jambu.
“Warna merah jambu benar-benar membantu but itu menyerlah di atas rumput hijau, sama ada anda berada di stadium atau menonton di TV. Aspek keterlihatan itu memang antara perkara yang kami kaji.
“Untuk Piala Dunia kali ini, kami mahu fokus kepada impak visual. Matlamat kami memastikan kasut lebih menyerlah berbanding jersi. Dalam setiap kejohanan, pendekatan boleh berbeza. Sebelum ini kami pernah cuba menjadikannya lebih serasi dengan kit, tetapi kali ini, melihat besarnya acara ini, kami mahu ia benar-benar menonjol.”
Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian. Lionel Messi menjaringkan hatrik pertama dalam sejarah Piala Dunia miliknya sambil memakai but putih dan biru Adidas El Ultimo Tango, manakala Nike turut menghasilkan but khas berwarna emas sepenuhnya untuk dipakai Cristiano Ronaldo ketika aksi pembukaan Portugal.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
