KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan penggunaan khidmat veteran tentera sebagai warden di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tiada kaitan dengan drama Korea ‘Teach You a Lesson’.
Sebalik, beliau berkata cadangan mengenainya sudah lama dibangkitkan banyak pihak sejak 2023, sebelum MARA melaksanakan projek rintis di dua MRSM tahun lalu.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi mengakui apabila diamanahkan sebagai Pengerusi MARA pada 2023, beliau menerima banyak laporan mengenai kes buli melalui pelbagai ruangan media sosial oleh ibu bapa dan pelajar.
Beliau kemudian mula melakukan lawatan mengejut melalui #Terjah MRSM-MRSM dan institusi-institusi pendidikan di bawah MARA lain, selain mengambil pelbagai langkah membendung gejala itu bahkan memperkenalkan tagline ‘You Touch You Go’ bagi memberi mesej jelas bahawa tiada kompromi bagi sesiapa yang terbabit buli atau yang cuba menyorokkan kes berkait perlakuan itu.
“Dalam siri-siri Terjah, saya mendapati antara faktor kekerapan perlakuan buli ini terkait juga dengan keterbatasan tanggungjawab warden yang dipikul oleh guru-guru secara tugasan tambahan.
“Banyak pihak termasuk bekas guru, netizen yang mencadangkan supaya dilantik warden sepenuh masa dari kalangan bekas-bekas anggota beruniform seperti tentera.
“Saya terus bawa idea ini kepada pihak pengurusan MARA dan dicadangkan untuk membuat projek rintis di dua MRSM yang terkenal dengan tradisi buli sejak dulu. Malah saya adakan juga pertemuan dengan Persatuan Veteran Bekas Tentera untuk jalinkan kerjasama,” katanya melalui kenyataan di Facebook.
Siri drama Korea ‘Teach You a Lesson’ diadaptasi daripada webtoon ‘Get Schooled’ memaparkan situasi buli, keganasan sekolah dan keruntuhan disiplin pelajar semakin serius sehingga kerajaan menubuhkan sebuah agensi khas dikenali sebagai Biro Perlindungan Hak Pendidikan atau BPHP.
Agensi ini menghantar pegawai khas diketuai bekas tentera ke sekolah bermasalah untuk memulihkan ketenteraman dan melindungi guru serta pelajar yang menjadi mangsa penindasan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengakui berlaku kebetulan apabila drama itu disiarkan di Netflix bulan lalu dan ramai yang mula mengaitkannya sebagai persamaan dengan dilakukan MARA.
“MARA sentiasa prihatin dan mendengar suara hati masyarakat awam demi memperkasakan lagi agenda pendidikan anak bangsa,” katanya.
Perluas ke semua 58 MRSM
Mengulas inisiatif MARA itu, katanya beliau menjalinkan kerjasama dengan pihak penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memiliki kepakaran dalam pelbagai penyelidikan terkait buli dan pembangunan pelajar untuk membuat kajian secara bebas terhadap inisiatif yang baharu dan berani ini.
“Alhamdulillah setelah selesai projek rintis selama enam bulan yang berakhir Februari lalu, saya minta laporan lengkap pihak MRSM terlibat, bahagian Pendidikan Menengah MARA dan kajian dilakukan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM.
“Hasil kajian ini mendapati perlantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera amat berkesan dan memberi impak positif kepada kemenjadian dan pembangunan sahsiah dan disiplin pelajar.
“Justeru saya membawa cadangan ini untuk dibincang dan diluluskan oleh Majlis MARA dan keputusannya untuk diperluaskan ke semua 58 MRSM,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
