TAWAU: Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti pendekatan jangka panjang yang lebih menyeluruh dan komprehensif dalam menangani isu golongan tanpa negara atau stateless termasuk kanak-kanak tanpa dokumen di negeri ini.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan isu berkenaan terus berulang walaupun pelbagai usaha termasuk penyediaan rumah perlindungan telah dilaksanakan sebelum ini.
Menurutnya, pendekatan sedia ada termasuk tindakan tangkap dan lepas masih belum mampu menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh, malah memberi kesan kepada aspek sosial serta kebajikan masyarakat.
Beliau berkata, isu tersebut perlu ditangani di peringkat dasar kerana Sabah terus berdepan cabaran berkaitan komuniti tanpa dokumen yang terdedah kepada pelbagai bentuk eksploitasi.
“Dalam peringkat kementerian, kami sedang berbincang bersama Menteri untuk melihat satu langkah yang lebih holistik supaya isu ini tidak terus berulang kerana ia bukan sahaja melibatkan anak-anak tanpa dokumen tetapi turut memberi impak sosial kepada anak-anak warganegara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sukaneka Tabika Perpaduan di Dewan Bitara Sekolah Kebangsaan Bahagia, Tawau.
Tambah beliau, jawatankuasa khas yang dicadangkan itu akan meneliti pendekatan terbaik bagi menguruskan isu kanak-kanak tanpa dokumen secara lebih komprehensif termasuk aspek perlindungan, penempatan serta masa depan mereka.
Menurut Rina, isu kanak-kanak tanpa negara dan tanpa dokumen bukan hanya berlaku di Sabah, malah turut menjadi cabaran di banyak negara khususnya kawasan yang bersempadan dengan negara lain.
