TAWAU: Program Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) terus memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal serta keluarga yang terkesan akibat projek pembangunan di negeri ini.
Salah seorang penerima, Chin Suk Sun, 49, meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai menerusi program berkenaan. Beliau yang membesarkan anak sebagai ibu tunggal berkata, proses permohonannya berjalan lancar dan rumah tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat.
Menurutnya, permohonan yang dikemukakan pada Ogos tahun lalu mendapat maklum balas positif sebelum rumah baharu itu siap dibina pada Februari lalu. Beliau menyifatkan bantuan tersebut sebagai satu anugerah besar buat dirinya dan keluarga.
Seorang lagi penerima, Ramlah Rahman, 43, turut berkongsi kegembiraan selepas memperoleh Rumah SMJ ketika keluarganya berdepan ketidakpastian susulan projek pelebaran Jalan Utara di Tawau.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, rumah yang didiami sebelum ini terlibat dalam projek pembangunan berkenaan dan perlu dikosongkan. Sebagai keluarga dalam kategori B40, usaha untuk membina rumah sendiri amat mencabar kerana memerlukan kos yang tinggi.
Katanya, peluang memohon Rumah SMJ membuka ruang kepada keluarganya untuk memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat. Selain menyediakan tempat tinggal yang lebih baik, bantuan itu juga memberi ketenangan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal memaklumkan sebanyak 120 unit Rumah SMJ telah diserahkan kepada penerima yang layak di kawasan DUN tersebut setakat ini.
Beliau berkata, program berkenaan kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan proses pembinaan dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan.
Menurutnya, walaupun terdapat beberapa cabaran teknikal pada peringkat awal, kerjasama antara pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan berjaya menyelesaikan isu yang timbul. Hasilnya, pelaksanaan Rumah SMJ kini semakin lancar dan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Sabah.
Rina turut menjelaskan bahawa permintaan terhadap program itu terus meningkat, termasuk dalam kalangan keluarga muda yang berhasrat memiliki rumah sendiri.
Beliau menegaskan bahawa Rumah SMJ merupakan program yang terbuka kepada semua rakyat Sabah yang memenuhi syarat kelayakan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Mengulas mengenai penduduk yang terjejas akibat projek pelebaran Jalan Utara, beliau berkata lebih 14 buah rumah terlibat dalam projek tersebut. Namun, hanya lima keluarga berjaya mengemukakan permohonan kerana mempunyai tanah sendiri.
Katanya, usaha turut dilakukan bagi membantu keluarga terbabit mendapatkan kelulusan serta pengecualian yang diperlukan memandangkan mereka telah lama menetap di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, Rumah SMJ bukan sekadar menyediakan kediaman, malah menjadi peluang kepada keluarga yang memerlukan untuk memulakan kehidupan baharu dalam keadaan yang lebih selesa dan teratur. – DAKWAT RAKYAT POST
