Kuala Lumpur: Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong mempersoalkan bagaimana laporan polis dibuat mangsa boleh diketahui oleh pemberi pinjam wang haram atau along.
Beliau mendedahkan, ada beberapa kes yang dikendalikannya mendapati along mendapat maklumat berhubung laporan polis yang dibuat mangsa dan pada hari sama terus membuat ugutan kepada peminjam atau mangsa.
Menurutnya, lazimnya menjadi mangsa adalah ahli keluarga yang tidak bersalah namun dikejar oleh along gara-gara peminjam menghilangkan diri.
“Ini perkara ganjil, setiap kali mangsa ini membuat laporan polis, pada hari sama atau keesokan hari along dapat tahu di mana laporan dibuat. Jadi persoalan saya adakah perkara ini patut berlaku?
“Bagaimana penjenayah ini mendapatkan maklumat berkenaan yang sepatutnya untuk kegunaan dalaman polis sahaja? Adakah sistem berkenaan boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
“Hal ini menakutkan mangsa. Mereka tidak lagi rasa selamat untuk membuat laporan polis kerana terus diugut malah penjenayah tahu laporan dibuat,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini hari ini.
Micheal berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini berhubung perkara itu dan pelbagai isu berbangkit berhubung kegiatan along yang kini disifatkannya lebih kepada kegiatan penipuan atau scammer.
Katanya, beliau tidak menuduh atau menuding jari kepada mana-mana pihak malah dalam pertemuan itu pihak PDRM memberi jaminan akan meneliti segala aspek berkaitan trend jenayah membabitkan along.
Katanya, penjenayah berkenaan beroperasi ibarat scammer namun menggunakan modus operandi samseng sama seperti sindiket along yang memeras ugut malah dalam beberapa kes ekstrem membaling bom petrol ke arah kediaman mangsa.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan pihaknya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai ternyata tidak berkesan malah masih ramai tertipu dengan helah licik sindiket along seperti tidak takut dengan undang-undang.
“Mereka peras ugut mangsa, bakar rumah, baling cat. Mereka guna upah orang untuk buat kerja kotor RM700 ke RM800.
“Setiap kali mereka buat mereka akan rakam dan hantar video kepada mangsa. Mereka mengaku bakar tetapi tak takut undang-undang, mereka tak risau pasal undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu Michael berkata pihaknya akan melancarkan kempen khas bermula hari ini bagi memberi kesedaran kepada seluruh lapisan masyarakat berhubung taktik penipuan along berkenaan dan cara-cara membuat laporan polis yang betul.
Kredit sumber: Harian Metro
