KOTA KINABALU, 22 Jun 2026 – Seramai 96 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama beberapa agensi penguat kuasa di daerah Kota Kinabalu dan Tawau.
Di Kota Kinabalu, operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Penampang menerusi Ops Kutip dan Ops Sapu telah memeriksa seramai 214 individu.
Hasil pemeriksaan, seramai 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan melibatkan 16 lelaki dewasa warga Filipina, 20 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
Sementara itu di Tawau, Ops Bersepadu bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir telah memeriksa seramai 120 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 44 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan di Tawau membabitkan 31 lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa warga Filipina. Selain itu, enam lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa warga Indonesia turut ditahan dalam operasi berkenaan.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha @ Sh Saleha Yussof berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana warga asing yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.
“Operasi bersepadu yang dijalankan bersama agensi penguat kuasa lain akan terus diperkasakan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63 serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
“JIM Sabah juga menyeru majikan dan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan imigresen serta tidak melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa dokumen yang sah kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
