JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia merampas 8.6 liter cecair disyaki dadah jenis ‘etomidate’ dianggarkan bernilai Rp97.8 bilion (RM22.7 juta) serta menahan empat warga asing disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, di sini.
Ketua Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Pesuruhjaya Kanan Wisnu Wardana, berkata rampasan itu dilakukan menerusi tiga kes berasingan yang dibongkar antara Februari hingga Mei tahun ini, membabitkan suspek dari China, Malaysia, Singapura dan Thailand.
“Kejayaan membongkar ketiga-tiga kes ini berpotensi menyelamatkan kira-kira 55,928 orang daripada penyalahgunaan narkotik,” katanya menurut agensi berita Antara pada Isnin.
Wisnu berkata kes-kes berkenaan jelas menunjukkan bahawa Lapangan Terbang Soekarno-Hatta terus menjadi sasaran sindiket rentas sempadan untuk menyeludup masuk ‘etomidate’ ke Indonesia.
Sementara itu, Ketua Unit Narkotik Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Michael Kharisma Tandayu, berkata rampasan terbesar membabitkan seorang warga Thailand apabila polis menemukan kira-kira 4.1 liter cecair disyaki ‘etomidate’ daripada suspek.
Dalam kes berasingan, beliau berkata polis turut menahan seorang warga Singapura dan seorang warga Malaysia yang melakukan perjalanan bersama dari Malaysia, serta seorang warga China yang tiba dari Thailand.
Menurut polis, siasatan ke atas ketiga-tiga kes itu mendapati keempat-empat suspek, yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah, menerima arahan daripada tiga individu yang kini berada dalam senarai orang dikehendaki pihak berkuasa Indonesia.
Kredit sumber: Bernama
