KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, digesa melaksanakan rombakan pentadbiran negeri susulan perubahan landskap politik Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.
Penyelaras RESET Kubang Pasu, Shafizan Taib, berkata langkah itu perlu bagi memastikan pentadbiran Kedah terus mencerminkan realiti politik semasa, selain menjadi nafas baharu dalam memacu kemajuan negeri.
Beliau berkata, antara cadangan dikemukakan ialah merombak barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), semua lantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan serta semua lantikan ahli Majlis Ketua Kampung (MKK) di seluruh Kedah.
“Rekod pentadbiran dan kepimpinan Menteri Besar Kedah telah menunjukkan satu prestasi yang membanggakan.
“Kedah kini berada dalam haluan yang betul baik dalam konteks ekonomi dan pembangunan rakyat.
“Namun, perubahan besar dalam landskap politik PN mutakhir ini menuntut satu langkah penyusunan semula agar pentadbiran Kedah benar-benar mencerminkan realiti politik semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shafizan berkata, cadangan rombakan itu juga selaras dengan keputusan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya semua lantikan yang masih mempunyai kaitan dengan BERSATU digantikan kerana mendakwa mereka adalah jentera parti yang mahu bersaing dengan parti yang menerajui kerajaan Kedah.
“Pada masa ini, dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah yang masih mewakili BERSATU ialah Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan).
“Selain mereka berdua, masih ramai wakil-wakil BERSATU yang masih memegang jawatan lantikan peringkat negeri dan kampung,” katanya yang mencadangkan supaya mereka wajar diganti dengan wakil parti Wawasan Negara yang jelas menjadi rakan kongsi PAS di peringkat Parlimen.
Kredit sumber: Berita Harian
