KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi memiliki dua pelabuhan yang tersenarai dalam kelompok 10 pelabuhan paling sibuk dunia tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara hab maritim dan logistik utama di peringkat global.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keyakinan itu bersandarkan usaha menggabungkan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Johor bagi tujuan penarafan Lloyd’s List.
Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat susulan kejayaan Pelabuhan Klang yang sebelum ini turut menggabungkan operasi dengan Northport bagi tujuan penarafan antarabangsa.
“Kami yakin pada 2026 Malaysia berpotensi mempunyai dua pelabuhan yang berada dalam kelompok 10 pelabuhan paling sibuk di dunia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Maritim Global 2026 di sini, hari ini.
Loke berkata, pencapaian itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara maritim penting yang berperanan dalam menghubungkan perdagangan antara Asia, Asia Barat, Eropah dan Afrika.
Beliau berkata, kelebihan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh aliran perdagangan antarabangsa.
Menurutnya, perubahan landskap perkapalan global akibat ketidaktentuan geopolitik turut membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk memperkukuh peranannya sebagai hab maritim, logistik dan pemindahan kapal antarabangsa.
“Tumpuan strategik dunia kini semakin terarah kepada Selat Melaka yang menjadi laluan kepada kira-kira satu perempat daripada dagangan global serta sebahagian besar import tenaga Asia setiap tahun,” katanya.
Loke berkata, gangguan yang berlaku di Laut Merah dan Selat Hormuz menyebabkan syarikat perkapalan menilai semula laluan operasi masing-masing bagi mengelakkan kawasan konflik dan laluan yang berdepan risiko keselamatan.
Katanya, laporan Bank Dunia dan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) menunjukkan purata laluan perkapalan maritim meningkat daripada kira-kira 4,800 batu pada 2018 kepada lebih 5,200 batu pada masa ini.
Jelasnya, perjalanan yang lebih panjang menyebabkan penggunaan bahan api meningkat, pelepasan karbon bertambah, kos pengangkutan melonjak dan tempoh penghantaran menjadi lebih lama.
“Ketika laluan perkapalan global disusun semula susulan ketidaktentuan geopolitik, kita mempunyai peluang yang besar untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab maritim, logistik dan pemindahan kapal yang utama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan industri pembekalan bahan api kapal atau ‘bunkering’ yang disifatkan mempunyai potensi besar untuk diperkembangkan.
Menurutnya, Malaysia masih belum memperoleh bahagian pasaran yang sepadan dengan kedudukannya di Selat Melaka walaupun laluan itu dilalui puluhan ribu kapal setiap tahun.
Sehubungan itu, katanya, Jemaah Menteri telah meluluskan Kementerian Pengangkutan sebagai agensi peneraju bagi menyelaras keseluruhan proses, peraturan dan pembangunan industri ‘bunkering’ negara.
“Langkah ini diambil bagi mengurangkan pertindihan birokrasi dan memperkukuh penyelarasan antara kementerian serta agensi yang terbabit dalam sektor berkenaan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
