KOTA KINABALU, 23 Jun 2026 – Dalam usaha memastikan mutu pendidikan negara sentiasa berada pada tahap terbaik, Jemaah Nazir terus memainkan peranan penting sebagai badan pemastian kualiti pendidikan yang bertanggungjawab menilai, memeriksa dan memberikan khidmat nasihat profesional kepada institusi pendidikan di seluruh negara, termasuk Sabah.
Walaupun perhatian masyarakat sering tertumpu kepada guru, murid, pentadbir sekolah dan kemudahan pendidikan, peranan Jemaah Nazir dilihat sebagai antara komponen penting yang menyokong keberkesanan sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan pemeriksaan yang sistematik dan berasaskan evidens.
Jemaah Nazir berfungsi memastikan pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran serta pelaksanaan dasar pendidikan berjalan mengikut standard yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sejarah penaziran di Malaysia bermula secara rasmi pada tahun 1956 menerusi penubuhan Jemaah Nazir Persekutuan (JNP) berasaskan perakuan Laporan Razak 1956. Organisasi itu kemudiannya diwartakan melalui Ordinan Pelajaran 1957 sebelum diperluaskan ke Sarawak pada tahun 1962 dan Sabah pada tahun 1964.
Seiring perubahan struktur KPM, organisasi tersebut melalui beberapa penjenamaan semula dan pernah dikenali sebagai Jemaah Nazir Institusi Pendidikan pada tahun 1995, Jemaah Nazir Sekolah pada tahun 1996 serta Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada tahun 2008 sebelum kembali menggunakan nama Jemaah Nazir pada tahun 2018.
Di Sabah, sejarah penaziran sebenarnya bermula lebih awal apabila Jabatan Pendidikan ditubuhkan pada tahun 1909 dengan dua orang Inspector of Schools yang bertanggungjawab memantau perkembangan dan prestasi sekolah.
Penubuhan Jemaah Nazir Sabah pada tahun 1964 disusuli pewujudan jawatan Nazir Sekolah secara rasmi pada tahun 1968 bagi memperkukuh fungsi pemeriksaan dan pelaporan pendidikan di negeri ini.
Perkembangan sistem pendidikan Sabah seterusnya menyaksikan pembentukan JNJK Sabah serta pembukaan cawangan di Sandakan dan Tawau pada tahun 1981, diikuti Cawangan Keningau pada tahun 1988 bagi memperluaskan liputan pemeriksaan dan pemantauan institusi pendidikan.
Kini, Jemaah Nazir Negeri Sabah berpusat di Kota Kinabalu dan disokong oleh tiga cawangan utama di Keningau, Sandakan dan Tawau bagi memastikan pelaksanaan penaziran dapat meliputi sekolah serta institusi pendidikan di seluruh negeri.
Dari sudut perundangan, peranan dan tanggungjawab Jemaah Nazir diperuntukkan di bawah Bahagian X Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].
Menurut Seksyen 117 akta berkenaan, Ketua Nazir bertanggungjawab memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan selain memastikan pemeriksaan dilaksanakan dalam tempoh yang bersesuaian atau apabila diarahkan oleh Menteri Pendidikan.
Seksyen 118 pula memperuntukkan kuasa kepada Ketua Nazir dan Nazir Sekolah untuk memberikan khidmat nasihat profesional kepada pihak pengurusan institusi pendidikan dan guru berkaitan pengajaran serta kaedah pengajaran.
Peruntukan tersebut menunjukkan bahawa penaziran bukan sekadar proses mengenal pasti kelemahan, malah berfungsi sebagai mekanisme sokongan profesional yang membantu sekolah melaksanakan penambahbaikan secara berterusan.
Antara fungsi utama Jemaah Nazir termasuk memeriksa institusi pendidikan bagi memastikan pengajaran, pembelajaran dan pengurusan dilaksanakan secara berkualiti, memastikan pematuhan terhadap dasar serta peraturan pendidikan, memberikan khidmat nasihat profesional, menyediakan laporan pemeriksaan kepada Menteri Pendidikan, menggubal Standard Kualiti Pendidikan kebangsaan dan melaksanakan pemeriksaan khas apabila diarahkan.
Di peringkat nasional, Jemaah Nazir dipimpin oleh Ketua Nazir Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Naharudeen bin Othman yang menerajui pelaksanaan fungsi pemeriksaan, penilaian, pelaporan dan khidmat nasihat profesional di seluruh negara.
Sementara itu, Jemaah Nazir Negeri Sabah diterajui oleh Ketua Nazir Negeri Sabah, Tuan Ibnu bin Haji Jaani yang dibantu oleh Timbalan Ketua Nazir Negeri serta Ketua Nazir Cawangan di Tawau, Sandakan dan Keningau.
Struktur organisasi tersebut membolehkan pelaksanaan penaziran diselaraskan dengan lebih cekap mengikut kedudukan geografi serta keperluan institusi pendidikan di seluruh Sabah.
Selain pemeriksaan, Jemaah Nazir Negeri Sabah turut melaksanakan pelbagai fungsi lain termasuk penilaian, siasatan, pemantauan, analisis data pendidikan, pembangunan profesionalisme Nazir Sekolah serta pengukuhan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, pelaksanaan penaziran di Sabah tidak terlepas daripada cabaran tersendiri memandangkan negeri ini mempunyai keluasan geografi yang besar dengan taburan sekolah melibatkan kawasan bandar, luar bandar, pedalaman dan pulau-pulau yang berdepan cabaran akses serta logistik.
Faktor perjalanan, pengangkutan, komunikasi, capaian internet dan tempoh pelaksanaan pemeriksaan menjadi antara cabaran yang perlu ditangani dalam memastikan proses penaziran dapat dilaksanakan secara berkesan.
Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Jemaah Nazir Negeri Sabah terus komited melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan standard pendidikan sentiasa terpelihara.
Pendekatan yang dilaksanakan memberi penekanan kepada profesionalisme serta keseimbangan antara pematuhan standard pendidikan dan realiti sebenar yang dihadapi oleh sekolah mengikut konteks masing-masing.
Melalui pemerhatian, semakan dokumen, temu bual, analisis data dan triangulasi evidens, Nazir Sekolah berupaya mengenal pasti kekuatan serta ruang penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah.
Maklum balas dan khidmat nasihat profesional yang diberikan selepas pemeriksaan membantu sekolah merancang intervensi yang lebih berkesan, memperkukuh kompetensi guru, meningkatkan keberkesanan kepimpinan serta mengoptimumkan penggunaan sumber pendidikan.
Pada masa sama, Jemaah Nazir terus mengekalkan kebebasan dan objektiviti profesional dengan setiap penilaian dilaksanakan berasaskan evidens yang sahih, mencukupi dan relevan.
Dengan sejarah yang panjang, mandat perundangan yang jelas serta kepimpinan yang berpengalaman, Jemaah Nazir Negeri Sabah dijangka terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri.
Di sebalik cabaran geografi dan kepelbagaian konteks pendidikan Sabah, para Nazir Sekolah terus menggalas amanah memastikan setiap murid menerima pendidikan yang berkualiti, beretika dan bermakna.
Jemaah Nazir bukan sahaja berperanan sebagai badan pemeriksa institusi pendidikan, malah menjadi pemacu penambahbaikan, penjaga standard dan suara profesional dalam usaha memperkasakan masa depan pendidikan negara. – DAKWAT RAKYAT POST
