LAHAD DATU, 25 Jun 2026 – Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan satu rangka manusia di kawasan parit di turunan bukit Taman Pertama 1, di sini, pada Rabu.Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Suprintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan rangka manusia tersebut melalui talian MERS 999 pada jam 10.53 pagi daripada orang awam.Menurut beliau, sepasukan pegawai dan anggota polis telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat bagi menjalankan pemeriksaan awal serta tindakan lanjut.Katanya, rangka manusia berkenaan kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa serta punca kematian.“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan dan laporan forensik,” katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, polis kini sedang mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan terperinci bagi membantu mengenal pasti identiti mangsa serta menentukan keadaan sebenar yang membawa kepada penemuan rangka tersebut.Sehubungan itu, polis menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau mana-mana balai polis berhampiran.Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, SM 152673 Ronney Lajius di talian 010-4641071.Dalam pada itu, Jimmy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu siasatan polis serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.Katanya, kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan segala fakta berkaitan kes dapat diperoleh secara menyeluruh. – DAKWAT RAKYAT POST
