PENAMPANG, 25 Jun 2026 – Sebuah stor rahsia yang dijadikan pusat penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Jalan Kobusak di sini berjaya dibongkar hasil serbuan agresif pihak berkuasa dalam satu operasi khas, petang semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata serbuan tersebut dilakukan sekitar jam 2.30 petang itu dijayakan menerusi Op Tiris 4.0 hasil kolaborasi strategik antara Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Dalam operasi tersebut katanya, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun berjaya diberkas di lokasi kejadian bagi membantu siasatan lanjut.
Pihak berkuasa turut melumpuhkan rantaian logistik sindiket berkenaan dengan menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
Hasil pemeriksaan rapi di dalam premis menemui sebanyak 2,775 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan di dalam beberapa unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC Tank), selain pelbagai peralatan pengoperasian yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan tersebut.
Kesemua barangan sitaan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai keseluruhan RM158,826.75.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, ketegasan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras jenayah ketirisan ekonomi bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan melalui tindakan penguatkuasaan agresif dan konsisten bagi memastikan hasil negara tidak terus dibolosi oleh sindiket penyeludupan.
Bagi tempoh Januari hingga 24 Jun 2026 agensi penguatkuasaan itu telah merekodkan kejayaan luar biasa dengan 81 kes di bawah akta yang sama melibatkan tangkapan seramai 75 individu serta nilai rampasan komulatif yang amat besar mencecah RM22,788,200.83.
Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah memberi amaran keras bahawa operasi penguatkuasaan akan terus diperhebat dari semasa ke semasa tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak atau dalang yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram ini digesa tampil menyalurkannya kepada pihak polis sekali gus membantu memastikan tindakan penguatkuasaan yang berkesan demi melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan masyarakat. – DAKWAT RAKYAT POST
