KOTA KINABALU: Seramai 60 pegawai rendah Pasukan Gerakan Am (PGA) dari seluruh batalion di bawah Briged Sabah berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan PGA Siri 1/2026 selepas menjalani latihan intensif selama hampir tiga bulan.
Majlis penutupan kursus berkenaan diadakan di Pusat Latihan Pulapol Kota Kinabalu yang disifatkan sebagai satu detik bersejarah dalam usaha memperkukuh keupayaan anggota PGA di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kursus berkenaan berlangsung selama dua bulan 20 hari dan melibatkan peserta dari pelbagai batalion PGA di seluruh negeri.
Menurutnya, latihan itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu serta kemahiran asas yang diperlukan dalam melaksanakan tugas sebagai anggota PGA.
“Kursus ini memberi penekanan kepada teknik pertempuran di kawasan hutan dan bukan hutan, kemahiran mempertahankan diri, latihan survival serta pelbagai kemahiran operasi lain.
“Semua kemahiran ini penting bagi memastikan anggota PGA bersedia menghadapi sebarang cabaran ketika melaksanakan tugas di lapangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan kursus berkenaan.
Beliau berkata, kursus itu akan diteruskan secara berkala bagi memenuhi keperluan latihan anggota PGA di Sabah.
Katanya, kapasiti latihan bagi setiap siri hanya mampu menampung sekitar 60 peserta dan keadaan itu memerlukan lebih banyak siri latihan dilaksanakan.
“Penambahan tiga batalion PGA di Sabah memerlukan latihan dipertingkatkan supaya semua anggota menerima pendedahan dan latihan secukupnya sebelum menjalankan tugas.
“Berdasarkan perancangan semasa, satu lagi siri kursus dijangka diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas mengenai ciri-ciri anggota yang mahu dibentuk menerusi kursus itu, Jauteh berkata anggota PGA perlu mempunyai tahap fleksibiliti yang tinggi bagi menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk penugasan.
Menurutnya, anggota PGA bukan sahaja bertugas di kawasan hutan dan sempadan, malah turut digerakkan untuk operasi di bandar serta kawasan komuniti.
“Anggota PGA adalah barisan hadapan pasukan keselamatan. Mereka perlu fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan operasi.
“Mereka juga perlu mempunyai keyakinan tinggi serta kekal tenang ketika berhadapan cabaran. Dalam apa juga situasi, mereka tidak boleh mudah goyah dan perlu sentiasa stabil ketika menjalankan tugas,” katanya.
Sementara itu, Jauteh turut mengulas mengenai kes buli membabitkan kanak-kanak yang tular di media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata, polis sudah membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan daripada mangsa serta individu yang dipercayai terbabit.
Katanya, kes berkenaan akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada memandangkan suspek terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan video atau gambar berkaitan insiden berkenaan.
“Kita minta masyarakat memberi ruang kepada polis, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan serta tindakan sewajarnya.
“Penyebaran secara berleluasa, termasuk komen yang tidak sesuai di media sosial, hanya akan memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
