KLANG: Permohonan MyKad versi baharu mendapat sambutan tinggi daripada orang ramai sejak 1 Jun lalu.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, bagaimanapun pihaknya akan menghabiskan baki stok sedia ada dokumen berkenaan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat kerajaan.
Menurutnya, perkara itu juga selaras dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung pelaksanaan penggunaan MyKad baharu.
“Kita ‘diserbu’ pada 1 Jun lalu (untuk permohonan MyKad baharu) cuma seperti mana yang sudah dijawab oleh Menteri, kita akan habiskan dulu baki stok MyKad yang kita ada.
“Jadi selepas itu kerajaan akan membuat keputusan daripada semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas Ops Kisar di Pulau Indah di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan, inisiatif pelaksanaan dan pengeluaran MyKad dan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu masih berada dalam jadual yang ditetapkan.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution dipetik berkata, buat masa ini permohonan baharu bagi MyKad dan PMA akan menggunakan stok sedia ada kerana baki stok dokumen berkenaan masih mencukupi untuk tempoh beberapa bulan lagi.
Terdahulu Saifuddin Nasution berkata, Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara. – Berita Harian
