KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal kepada pendirian tiada keperluan supaya laporan akhir mengenai kuasa khas Kabinet bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) didedahkan kepada umum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata ini memandangkan isu kandungan dan perbincangan yang direkodkan dalam laporan itu adalah bersifat teknikal dan membabitkan perkara sensitif.
“Dokumen-dokumen adalah bertaraf rahsia dan penarafan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Setakat ini, kita kekal dengan pendirian ini, kecuali ada arahan-arahan terbaru,” katanya menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, perkara berkaitan royalti minyak dan yang berkaitannya juga adalah perkara dikategorikan dalam hal yang perlu dirujuk kepada keputusan atau perbincangan di peringkat tertinggi.
“Maknanya perkara ini hanya dibincangkan di peringkat tertinggi di antara Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah. Mesyuarat di antara ketiga-tiga pemimpin ini tertakluk kepada keperluan dan kesesuaian semasa.
“Bagaimanapun, kita akan terus memantau perkara-perkara ini di bawah bahagian hal ehwal Sabah dan juga Sarawak,” katanya.
Menjawab soalan asal Isnaraissah berkenaan garis masa pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak untuk mewakili 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen seperti digariskan dalam MA63, Mustapha berkata, perkara ini masih dalam kategori belum selesai dan status dalam perbincangan.
“Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan ahli Dewan Rakyat.
“(Selain itu) pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Pindaan Perkara 46 ini perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada ahli Dewan Rakyat dan cadangan pertambahan ini hendaklah datang daripada kerajaan sendiri,” katanya.
Dalam menjalankan kajian persempadanan sebelum ini beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberikan tempoh masa selama dua tahun untuk menyiapkan kajian, bermula dari tarikh tersiarnya notis yang disebut dalam Seksyen 4 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan, sehingga laporan akhir kajian dikemuka Perdana Menteri, seperti diperuntukkan dalam Fasal 9 dan 10 Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan beriltizam untuk menyegerakan penyelesaian kepada semua perkara di bawah MA63, namun tempoh masa bagi penyelesaian setiap tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan berkaitan.
“Selain itu, tahap kesediaan kerajaan Sabah dan Sarawak dari sudut operasi sumber manusia dan kewangan juga antara aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
