TAWAU, 27 Jun 2026 – Penyelarasan harga diesel bersubsidi di seluruh negara yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai depan disambut baik, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan geografi serta cabaran logistik yang unik di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah kerajaan mengurangkan harga diesel merupakan inisiatif positif bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, namun pelaksanaan dasar itu perlu disesuaikan dengan realiti di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, kedua-dua negeri mempunyai bentuk muka bumi yang berbeza berbanding Semenanjung Malaysia, selain masih bergantung kepada penggunaan diesel khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, faktor geografi, jaringan logistik serta keperluan penduduk perlu diberi perhatian sewajarnya supaya manfaat penyelarasan harga diesel benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat.
“Perkara ini adalah satu perkara yang kita tidak dapat elakkan kerana krisis minyak ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia.
“Namun, kita berharap agar segala keputusan yang diambil kerajaan mengambil kira keadaan muka bumi, logistik dan geografi di Sabah supaya penggunaan diesel ini benar-benar dapat memberikan manfaat kepada penduduk di Sabah dan mungkin juga Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyantuni pesakit di Wad Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Unit Hemodialisis serta Unit Paliatif dan Onkologi Hospital Tawau sempena program Ziarah Kasih Hijrah, di sini, hari ini.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, walaupun penurunan harga diesel dijangka memberi kelegaan kepada rakyat, impaknya di Sabah dan Sarawak berbeza berikutan keluasan kawasan serta kebergantungan masyarakat terhadap bahan api itu untuk tujuan pengangkutan dan aktiviti harian.
Beliau berkata, pandangan yang dikemukakan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Hamzah Azizan dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengenai penyelarasan subsidi diesel turut mengambil kira keadaan sebenar di Sabah dan Sarawak.
“Oleh kerana keadaan geografi kita amat berbeza dengan Semenanjung, apa pun langkah yang diambil kerajaan perlu mengambil kira kepentingan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Kita berharap perkara ini dari semasa ke semasa diberi pertimbangan dan penelitian lebih baik agar keputusan yang dibuat demi kepentingan negara tidak terlalu membebankan rakyat di akar umbi,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan akan terus memperhalusi mekanisme pelaksanaan subsidi diesel terutama di kawasan yang berdepan cabaran logistik tinggi agar manfaatnya dapat disalurkan secara lebih berkesan.
Dalam perkembangan lain, Nizam berkata, program Ziarah Kasih Hijrah memberi peluang kepada pemimpin untuk mendekati masyarakat, khususnya pesakit yang sedang menjalani rawatan di Hospital Tawau.
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja menyampaikan sumbangan, malah memberi sokongan moral kepada pesakit dan ahli keluarga supaya terus tabah menghadapi ujian kesihatan.
Katanya, sambutan positif daripada pesakit sepanjang lawatan itu membuktikan program seumpama berupaya meningkatkan semangat mereka untuk meneruskan rawatan dan berusaha mencapai kesembuhan.
“Semasa lawatan, pesakit-pesakit yang disantuni menunjukkan reaksi positif dan kelihatan lebih ceria.
“Diharapkan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar sana yang mempunyai kelebihan untuk turut tampil mengadakan program seperti ini, iaitu memberi sokongan kepada pesakit-pesakit,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Hospital Tawau atas komitmen berterusan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.
Nizam berkata, usaha menaik taraf kemudahan hospital termasuk pembinaan bangunan baharu merupakan perkembangan yang amat baik dalam memperkukuhkan sistem kesihatan di daerah itu.
Bagaimanapun, katanya, Hospital Tawau masih memerlukan penambahan kemudahan dan peralatan daripada kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan hospital berkenaan berfungsi sebagai pusat rawatan utama di Pantai Timur Sabah.
“Lebih banyak kemudahan diperlukan daripada kerajaan khususnya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melengkapkan hospital ini sebagai sebuah hospital dengan pelbagai kemudahan.
“Ia sekali gus boleh menjadi pusat rawatan kepada masyarakat di Pantai Timur tanpa perlu ke Kota Kinabalu atau Semenanjung.
“Saya yakin, Insya-Allah perkara ini dalam perhatian kementerian dan diharap dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan bahawa menerusi penyelarasan subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga di Semenanjung Malaysia bermula 1 Julai ini, manakala bukan warganegara tidak lagi layak menikmati subsidi berkenaan.
Melalui pelaksanaan itu, pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak akan menikmati penurunan harga runcit diesel daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter. – DAKWAT RAKYAT POST
