SEMPORNA, 27 Jun 2026 – Penganjuran Regatta Lepa bukan sahaja menjadi platform memartabatkan warisan budaya masyarakat Bajau, malah membuktikan Pantai Timur Sabah kekal selamat untuk dikunjungi pelancong walaupun masih terdapat amaran perjalanan (travel advisory) yang dikeluarkan oleh beberapa negara Barat.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sambutan menggalakkan terhadap Regatta Lepa, termasuk kehadiran ribuan pengunjung dan pelancong asing, membuktikan persepsi yang mengaitkan kawasan Pantai Timur Sabah sebagai destinasi tidak selamat adalah tidak berasas.
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa menjalinkan kerjasama erat bersama agensi keselamatan bagi memastikan tahap keselamatan di perairan Sabah sentiasa berada pada tahap terbaik demi melindungi rakyat serta pelancong.
Katanya, penganjuran Regatta Lepa dengan sendirinya menjadi bukti bahawa perairan Sabah, khususnya di Pantai Timur, berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Sebenarnya kerajaan Malaysia bersama kerajaan Sabah sentiasa bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan untuk mengawal perairan dan sempadan negara bagi memastikan keselamatan rakyat serta pelancong sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merasmikan Regatta Lepa Kali Ke-31 di Padang Pekan Semporna, semalam.
Nizam berkata, kewujudan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuhkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong untuk memilih Sabah sebagai destinasi pelancongan.
Menurutnya, ESSCOM memainkan peranan penting dalam memantau keseluruhan kawasan Pantai Timur Sabah bagi memastikan sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dicegah lebih awal.
“Sudah pasti dengan adanya ESSCOM sebagai badan yang sentiasa memantau kawasan Pantai Timur Sabah, kita dapat memastikan tidak berlaku perkara yang boleh mengancam keselamatan rakyat mahupun pelancong dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata, keadaan keselamatan di Pantai Timur Sabah ketika ini jauh lebih baik hasil kerjasama berterusan antara kerajaan dan semua agensi penguat kuasa.
Justeru, katanya, persepsi negatif yang masih dikaitkan dengan kawasan itu perlu diperbetulkan kerana pelbagai langkah kawalan dan pemantauan telah dilaksanakan bagi menjamin keselamatan semua pihak.
Dalam pada itu, Nizam berkata, penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti Regatta Lepa turut mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap tahap keselamatan di Semporna, selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
Menurut beliau, kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara yang menyaksikan sendiri suasana aman serta kemeriahan sepanjang festival berlangsung menjadi bukti nyata bahawa Sabah, khususnya Semporna, merupakan destinasi yang selamat dan sesuai untuk dikunjungi. – DAKWAT RAKYAT POST
