KUNDASANG, 28 Jun 2026 – Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah Siri 3 berjaya memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran kepimpinan dan semangat patriotisme dalam kalangan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) serta Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), sekali gus memperkasa peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, program berkenaan menjadi medium penting untuk meningkatkan keupayaan warga UPPM dalam menyampaikan dasar-dasar Kerajaan Malaysia MADANI dan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) secara lebih berkesan kepada masyarakat.
Beliau berkata, penglibatan peserta yang terdiri daripada PPM dan CDO mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Tambunan hingga N.73 Sebatik membuktikan kesungguhan warga UPPM untuk terus meningkatkan tahap profesionalisme serta memperkukuhkan kecekapan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
Menurutnya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menerusi penganjuran kursus tersebut menjadi langkah penting ke arah pembangunan modal insan yang lebih berkualiti.
“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui penganjuran kursus ini merupakan permulaan yang amat bermakna dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan. Saya berharap lebih banyak program seumpamanya dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Komuniti UPPM Negeri Sabah Siri 3 di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, di sini.
Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang serta Penolong Pengarah AKM, Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Yusnilawati Abdul Asik.
Awang Kadin berkata, sepanjang program berlangsung peserta didedahkan dengan pelbagai modul yang memberi penekanan terhadap konsep Malaysia MADANI, kepimpinan komuniti, patriotisme, integriti serta tanggungjawab penjawat awam dalam menyampaikan maklumat dan melaksanakan dasar kerajaan.
Katanya, warga UPPM merupakan jentera penting di peringkat akar umbi kerana berperanan sebagai penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat, selain membantu memastikan kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian komuniti terus dipelihara.
Beliau turut mengingatkan semua warga UPPM supaya terus memperkukuhkan budaya kerja berpasukan, meningkatkan profesionalisme serta sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat agar setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih efektif.
Selain itu, beliau menggalakkan semua kakitangan UPPM memanfaatkan setiap peluang latihan dan pembangunan kompetensi bagi mempertingkatkan integriti, kecekapan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), para fasilitator serta urus setia yang telah menjayakan penganjuran kursus tersebut.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas komitmen yang ditunjukkan sepanjang program dan berharap segala ilmu serta pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam melaksanakan tugas demi kepentingan rakyat, negeri dan negara.
“UPPM akan terus komited melahirkan pemimpin komuniti yang berwibawa, berintegriti dan berdaya tahan bagi mendukung aspirasi Malaysia MADANI serta Sabah Maju Jaya demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
