KUCHING, 28 Jun: Pelaksanaan cukai karbon di Malaysia wajar mengambil kira kedudukan unik Sabah dan Sarawak sebagai penyimpanan karbon negara termasuk mempertimbangkan pengagihan semula sebahagian besar hasil kutipan kepada kedua-dua negeri tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak wajar menerima pengiktirafan lebih adil dalam pelaksanaan dasar cukai karbon negara, dengan sekitar 70 peratus daripada hasil kutipan cukai tersebut perlu dikembalikan kepada kedua-dua negeri berkenaan.
“Sarawak juga mempunyai banyak tanah gambut dan tanah paya yang kaya dengan kapasiti penyimpanan karbon. Berdasarkan sumber ini, adalah wajar kita melihatnya sebagai kekuatan dalam ekonomi baharu.
“Saya telah berbincang dengan Menteri dari Sabah, dan saya menyatakan bahawa sebelum melaksanakan cukai karbon, perlu dipertimbangkan komponen cukai tersebut yang harus dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Sambutan Gawai-Kaamatan DCCI-KCCI 2026 di Kompleks UNIFOR, malam ini.
Menurut Abang Johari, pendekatan dasar karbon negara perlu bersifat lebih adil dan mengiktiraf sumbangan ekosistem hutan di Borneo terutama dalam konteks ekonomi baharu.
“Dasar undang-undang perlu mengiktiraf bahawa polisi karbon Malaysia amat bergantung kepada kedua-dua negeri ini dan undang-undang tersebut mesti bersifat adil.
“Dalam ekonomi baharu ini, apabila karbon menjadi isu utama di Malaysia, Sabah dan Sarawak memainkan peranan yang sangat dominan dalam dasar negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, Premier Sarawak menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan cukai karbon di peringkat nasional perlu mengambil kira sumbangan ekologi tersebut dan memastikan pulangan ekonomi yang seimbang kepada kedua-dua wilayah.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan sedang dalam fasa akhir memuktamadkan dasar cukai karbon negara secara komprehensif dengan pelaksanaan awal memberi tumpuan kepada sektor besi, keluli dan tenaga.
Pelaksanaan itu selaras dengan komitmen Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Kredit sumber: TV Sarawak
J
