TAWAU: Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa bersama Timbalan Pengerusi, Datuk Victor P. Paut berpuas hati dengan prestasi serta perkembangan operasi beberapa anak syarikat kumpulan itu di Pantai Timur Sabah selepas mengadakan lawatan kerja ke Tawau, Semporna dan Kunak.
Lawatan yang berlangsung pada Selasa itu bertujuan meninjau sendiri pelaksanaan operasi, tahap pengeluaran serta kemajuan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh anak-anak syarikat di bawah Kumpulan Sawit Kinabalu.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Kunak Refinery Sdn Bhd, Kunak Lipids Sdn Bhd, Sawit Kinabalu Seeds Sdn Bhd di Tawau serta projek pembangunan hartanah Sawit Kinabalu di Plaza Semporna.
Sepanjang lawatan itu, Hazem dan Victor turut diberikan taklimat mengenai pencapaian operasi, perancangan strategik serta hala tuju setiap syarikat dalam memperkukuhkan daya saing dan menyokong pertumbuhan industri sawit serta pembangunan ekonomi negeri.
Selepas sesi penerangan, kedua-dua mereka bersama Ahli Lembaga Pengarah menyatakan kepuasan terhadap kelancaran operasi dan prestasi pengeluaran yang dicapai oleh anak-anak syarikat berkenaan.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja atas komitmen yang ditunjukkan dalam memastikan operasi berjalan lancar, di samping berharap momentum kecemerlangan itu dapat dikekalkan bagi memperkukuhkan kedudukan Kumpulan Sawit Kinabalu sebagai antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama di Sabah.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu, Fred Stanley Sinidol, Datuk Zakaria Mohd. Edris @ Tubau, Datuk Maming Staming, Yvonne Lim Soo Fung, Abdul Halim Alimuddin, Syed Khairul Malai Rasheed serta beberapa pegawai kanan kumpulan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
