KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kegiatan perjudian jenis ‘See Ngo Lak’ dan judi dalam talian selepas menahan lapan individu dalam satu serbuan di kawasan Pasar Borong Selayang, semalam.
Serbuan pada jam 8 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, semua yang ditahan berusia antara 30 hingga 45 tahun, membabitkan tiga lelaki warga tempatan dan lima lelaki warga Myanmar.
Menurutnya, siasatan mendapati dua daripada suspek yang ditahan itu berperanan sebagai penganjur, manakala enam lagi adalah pemain.
Penuntut universiti berdepan hukuman mati
“Kegiatan perjudian ini dipercayai bergiat aktif sejak dua bulan yang lalu dengan waktu operasi dikesan bermula dari jam 7 petang hingga 10 malam.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu termasuk sebuah meja, satu set mangkuk kaca kecil, tiga biji dadu serta wang tunai berjumlah RM6,266 yang dipercayai hasil pertaruhan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fadil berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
