LAHAD DATU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N60 Tungku, Mohd Syahid Gulam, menyuarakan kebimbangan berikutan dua insiden serangan buaya yang meragut nyawa di kawasan Tungku dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, kejadian terbaharu yang mengorbankan seorang pemuda berusia 20 tahun di Kampung Mundas, selepas dipercayai dibaham buaya ketika memeriksa pukat di laut, menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, sebelum itu seorang kanak-kanak berusia 12 tahun turut maut selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Tagupi, sekali gus menunjukkan ancaman reptilia berkenaan semakin membimbangkan.
“Penduduk di kawasan Tungku khususnya nelayan dan mereka yang bergantung kepada sungai serta laut sebagai sumber rezeki kini hidup dalam kebimbangan.
“Susulan dua kejadian tragis ini, saya memohon agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman buaya demi keselamatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Syahid berkata, antara tindakan yang boleh dipertimbangkan ialah meningkatkan rondaan di kawasan berisiko, memasang papan tanda amaran di lokasi yang dikenal pasti menjadi habitat buaya serta menjalankan pemantauan secara berterusan.
Beliau turut mencadangkan supaya operasi menangkap atau memindahkan buaya yang dikenal pasti mengancam keselamatan awam dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Pada masa sama, beliau menggesa penduduk agar sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti di sungai, pesisir pantai atau kawasan muara, selain mengelakkan aktiviti bersendirian terutama pada awal pagi dan lewat petang.
“Saya berharap semua agensi berkaitan dapat bekerjasama mencari penyelesaian jangka panjang agar kejadian seperti ini tidak terus berulang dan keselamatan masyarakat di Tungku sentiasa terjamin,” katanya.
