KUCHING: Isu remaja hamil luar nikah terus menjadi kebimbangan apabila seramai 21,114 golongan berusia 10 hingga 19 tahun direkodkan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, situasi itu menunjukkan golongan berkenaan berdepan pelbagai cabaran sosial yang semakin kompleks dan memerlukan perhatian semua pihak.
Beliau berkata, isu remaja hamil luar nikah bukan sahaja memberi kesan kepada masa depan golongan itu, malah turut menjejaskan institusi keluarga serta kesejahteraan masyarakat jika tidak ditangani secara menyeluruh.
“Justeru, usaha pencegahan, pendidikan dan intervensi awal perlu terus diperkukuhkan dengan sokongan semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program PEKERTI Negara di Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS), di Santubong, di sini, hari ini.
Nancy berkata, cabaran dihadapi remaja kini bukan lagi hanya dalam persekitaran fizikal, malah dunia digital turut membuka ruang kepada pelbagai risiko seperti buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual dan fenomena ‘sexual grooming’.
Beliau berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati hampir satu pertiga atau 29 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun mempunyai kecenderungan ketagihan internet yang boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko sosial dan keselamatan.
Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan peningkatan kes rogol statutori membabitkan hubungan suka sama suka dalam kalangan individu bawah umur meningkat kepada 1,139 kes, berbanding 719 kes pada 2019.
“Perkembangan ini membuktikan pendidikan berkaitan keselamatan diri dan kesihatan reproduktif perlu terus diperkasakan supaya remaja lebih peka terhadap risiko yang dihadapi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan sebagai benteng pertama dalam melindungi anak-anak dengan meluangkan masa bersama mereka, memahami dunia digital serta memantau penggunaan teknologi secara berhemah.
Beliau berkata, hubungan kekeluargaan yang kukuh mampu membantu anak masing-masing membuat keputusan yang betul selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pengaruh negatif.
Sehubungan itu, katanya, Program PEKERTI Negara diperkenalkan sebagai pendekatan menyeluruh bagi memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif dalam kalangan remaja dengan sasaran membabitkan 150,000 remaja di seluruh negara, termasuk 60,000 murid daripada lebih 1,000 sekolah serta melahirkan 1,000 Junior Teen Educator.
Kredit sumber: Berita Harian
