Kuala Lumpur: Pihak berkuasa Macau menahan seorang rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau selepas disyaki menyeludup hampir tiga kilogram (kg) heroin bernilai kira-kira MOP$4.18 juta (RM2.09 juta), bulan lalu.
Polis Kehakiman Macau (PJ) dalam kenyataan berkata, lelaki berusia 24 tahun itu tiba di Macau dengan penerbangan dari sebuah negara di Asia Tenggara pada lewat malam 20 Jun lalu.
Menurutnya, suspek dikesan pegawai Bahagian Narkotik PJ yang ditempatkan di lapangan terbang hasil risikan dan pemantauan terhadap taktik penyeludupan dadah antarabangsa.
“Lelaki Malaysia itu ditahan sebaik mengambil bagasi berdaftarnya sebelum pemeriksaan di lokasi menemukan 49 kotak biskut tuna yang dibungkus rapi.
“Setiap kotak mengandungi dua paket biskut dan satu tin pes tuna. Pemeriksaan ke atas beberapa tin itu mendapati ia tidak mengandungi pes tuna, sebaliknya dipenuhi serbuk putih,” katanya.
Katanya, ujian awal menggunakan alat pengesan dadah mudah alih mendapati serbuk putih itu dipercayai dadah.
“Pasukan Jabatan Sains Forensik PJ kemudian menjalankan pemeriksaan segera terhadap serbuk putih berkenaan.
“Pemeriksaan itu mengesahkan bahan berkenaan sebagai heroin seberat 2,987 gram (2.987kg) dengan nilai pasaran kira-kira MOP$4.18 juta (RM2.09 juta),” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu dipercayai direkrut sindiket pengedaran dadah di Malaysia yang menjanjikan bayaran RM3,000 atau bersamaan kira-kira MOP$6,000 selepas tugas itu selesai.
“Lelaki itu dipercayai diarahkan mengambil dadah berkenaan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum menyeludup ke Macau. Dadah itu dipercayai mahu dihantar ke wilayah berhampiran mengikut arahan sindiket,” katanya.
PJ berkata, susulan siasatan lelaki itu kemudian dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya atas kesalahan mengedar dadah narkotik dan bahan psikotropik secara haram.
Untuk rekod, pengedaran dadah adalah jenayah serius di Macau dengan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Kredit sumber: Harian Metro
