LAHAD DATU, 7 Julai 2026 – Kerajaan Sabah mengambil langkah memperkukuh pembangunan industri ekonomi kreatif menerusi penubuhan Unit Ekonomi Kreatif di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif sebagai usaha melahirkan lebih ramai penggiat industri kreatif serta membuka peluang pendapatan kepada golongan belia.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, unit berkenaan sedang dalam proses penstrukturan organisasi kementerian sebelum beroperasi sepenuhnya bagi menyelaras pembangunan sektor ekonomi kreatif di negeri ini.
Menurut beliau, penubuhan unit itu akan memberi fokus kepada pembangunan bakat, penyelarasan pelbagai program berkaitan serta memperkukuhkan ekosistem industri kreatif yang melibatkan kandungan digital, muzik, filem dan bidang berkaitan.
Katanya, portfolio ekonomi kreatif yang diwujudkan di bawah kementerian berperanan besar dalam mengembangkan potensi kreativiti anak muda agar dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih mampan.
“Kerajaan negeri melihat ekonomi kreatif sebagai antara sektor baharu yang mempunyai prospek besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah. Bakat dan kreativiti belia perlu diperkasakan supaya mampu menjadi sumber pendapatan serta memberi manfaat kepada negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Liga Bola Sepak CMCFC Edisi IV 2026 di Kompleks Sukan Lahad Datu, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nizam menyifatkan penganjuran kejohanan itu sebagai platform terbaik untuk mengenal pasti bakat pemain muda di samping mengeratkan hubungan masyarakat melalui aktiviti sukan.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan terus meneliti keperluan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh Sabah, termasuk Kompleks Sukan Lahad Datu, bagi memastikan agenda pembangunan belia dan sukan terus diberi perhatian di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah. – Pejabat Penerangan Daerah Tawau
