KUALA LUMPUR: Premis tanpa nama di sebalik sebuah bengkel besi dijadikan stor kira-kira 10,500 helai jersi tiruan dari China terbongkar menerusi Op Tiruan di Kampung Kerdas, Gombak, di sini, hari ini.
Ketika serbuan, seorang pekerja lelaki berusia lewat 30-an hanya mampu tergamam melihat sekumpulan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menyerbu masuk ke premis itu sekitar 3 petang.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati ketika serbuan dijalankan lelaki berusia lewat 30-an terbabit sedang sibuk melayan pelanggan melalui sesi live di media sosial bagi menjual jersi tiruan kepada penonton.
Ketika ditemui lelaki tempatan itu mendakwa sudah beroperasi di premis yang disewa itu lebih dua tahun dan sedar bahawa menjual barang tiruan menyalahi undang-undang.
Difahamkan, premis itu disewa pada harga RM2,000 sebulan dan ruangan tertutup yang terletak bersebelahan bengkel besi berkenaan dijadikan stor, tempat pembungkusan dan lokasi membuat sesi live di media sosial.
“Jualan tidak tentu, ada banyak, ada sikit tetapi paling tinggi kita dapat cecah RM30,000 sebulan. Saya jual online (dalam talian) sahaja, saya buat live di media sosial dan pembelian secara pos sahaja.
“Baju piala dunia tak banyak, kita ada jersi musim lepas sahaja banyak. Stok dari China kita beli ikut guni dengan harga kos dalam RM6 sehelai. Kita jual serendah RM10 sehingga RM30, tengok jenis baju,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini, hari ini.
Harian Metro difahamkan setiap guni dibeli pada harga sekitar RM1,500 dan mengandungi sekurang-kurangnya 300 helai jersi bola sepak tiruan dari pelbagai jenama dan pasukan.
Sementara itu, Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pemeriksaan menemukan kira-kira 10,500 jersi bola sepak tiruan membabitkan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM 375,000.
Menurutnya, serbuan dijalankan susulan maklumat awam dan risikan pihaknya selama seminggu dengan bantuan wakil cap dagangan yang berkaitan.
“Operasi ini memberi tumpuan kepada premis yang disyaki menjual jersi menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik cap dagang.
“Susulan peningkatan permintaan terhadap jersi pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia FIFA 2026,” katanya ketika ditemui selepas operasi, di sini, hari ini.
Menurutnya, KPDN Kuala Lumpur sentiasa memandang serius isu penjualan barangan tiruan seperti jersi bola sepak bukan sekadar ketika kejohanan besar seperti Piala Dunia FIFA berlangsung.
Sabri berkata, tiga individu tempatan berusia 30-an ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, maklumat awal mendapati premis itu menjual barangan tiruan secara dalam talian menerusi sesi live di media sosial dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya ada rangkaian jualan lain yang mungkin terbabit.
Kredit sumber: Buletin TV3
