LAHAD DATU, 5 Julai 2026 – Umat Islam diseru agar terus memperkukuh perpaduan, mengamalkan budaya menyemak kesahihan maklumat serta menjauhi penyebaran fitnah di media sosial sebagai usaha membina masyarakat yang harmoni dan berakhlak.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Norazlinah Arif berkata, tema Sambutan Ma’al Hijrah 1448H/2026M, “Madani Dihayati, Umat Diberkati”, membawa mesej penting supaya masyarakat berhijrah daripada budaya prasangka kepada amalan tabayyun atau menyelidik kebenaran sebelum mempercayai dan menyebarkan sesuatu maklumat.
Menurut beliau, cabaran yang dihadapi umat Islam pada masa kini bukan lagi hanya berbentuk peperangan fizikal, sebaliknya hadir dalam pelbagai bentuk termasuk penyebaran berita palsu, fitnah di media sosial, budaya saling menghina serta kemerosotan adab ketika berbeza pendapat.
“Islam mengajar kita mencari kebenaran dengan penuh hikmah. Kita perlu berhijrah daripada perpecahan kepada perpaduan serta meninggalkan kebencian untuk membina kasih sayang sesama masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Daerah Lahad Datu 1448H/2026M di Dewan Tun Mustapha, di sini, semalam.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan negeri dan menjelaskan bahawa setiap dasar serta ketetapan yang dibuat mengambil kira kebijaksanaan, maslahat serta kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 800 peserta itu, Datuk Norazlinah turut memberi maklum balas segera terhadap isu kemudahan di Dewan Tun Mustapha yang dibangkitkan oleh Pegawai Daerah Lahad Datu.
Beliau berkata, permohonan bagi menaik taraf prasarana dewan berkenaan akan dipanjangkan terus kepada Ketua Menteri Sabah untuk pertimbangan.
Terdahulu, Pegawai Daerah Lahad Datu yang juga Pengerusi Badan Dakwah Daerah, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul, berkata sambutan Ma’al Hijrah bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi medan terbaik untuk masyarakat melakukan transformasi diri berlandaskan nilai-nilai Islam.
Beliau mengajak seluruh masyarakat di daerah ini menghayati nilai kemanusiaan, kemampanan, kasih sayang serta semangat saling menghormati dalam menyambut kedatangan tahun baharu Islam.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan masyarakat terhadap keadaan Dewan Tun Mustapha yang menjadi lokasi utama pelbagai program keagamaan daerah tetapi kini memerlukan penambahbaikan, khususnya sistem penghawa dingin yang lebih baik demi keselesaan orang ramai.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Ariffin, Pengarah ILIM Lahad Datu, Ustaz Mizzuan Jafilus serta pemimpin masyarakat setempat.
Kemuncak sambutan menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah kepada individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Saedah Abdul Wahid dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah kategori wanita, manakala Ustaz Mohd Yunus Abu menerima anugerah bagi kategori lelaki untuk tahun 1448H/2026M.
Anugerah Tokoh Murabbi pula disampaikan kepada Ustaz Shamlan Hamedi Ali Kassim.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Lahad Datu menerima Anugerah Khas Kerajaan Negeri, manakala Jabatan Pendidikan Lahad Datu menerima Anugerah Khas Kerajaan Persekutuan.
Bagi kategori Belia, anugerah disampaikan kepada Aliff Afendy Ali, manakala Nurul Atiqah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.
Majlis turut diserikan dengan ceramah khas Ma’al Hijrah yang disampaikan oleh penceramah bebas, Dr Abdullah Azzam Abd Rashid. – DAKWAT RAKYAT POST
