LAHAD DATU, 5 Julai 2026 – Golongan belia diingatkan supaya terus mengutamakan semangat perpaduan serta mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang bentuk demonstrasi yang berpotensi menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat.
Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, setiap tindakan yang diambil perlu dipertimbangkan secara matang kerana sesuatu perkara yang pada awalnya kelihatan kecil mampu berkembang menjadi isu lebih besar sekiranya tidak dikendalikan dengan baik.
Menurut beliau, keamanan yang dinikmati rakyat Sabah hari ini terhasil daripada semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, justeru ia perlu terus dipelihara demi menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
Katanya, walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu perlu menggunakan hak tersebut secara bertanggungjawab dengan mematuhi undang-undang serta menghormati nilai perpaduan yang menjadi asas keharmonian negara.
Beliau turut menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan segelintir individu yang memuat naik kandungan di media sosial memaparkan gambar pemimpin Sabah yang dilukis dan dipijak.
Jelasnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak mencerminkan akhlak yang baik, malah bertentangan dengan nilai hormat-menghormati yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa tiada manusia yang sempurna. Begitu juga pemimpin yang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
“Perbezaan pendapat tidak sepatutnya dizahirkan melalui tindakan menghina atau menjatuhkan maruah mana-mana individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Tungku di Masjid Jamek Haji Amir Abdullah, Kampung Bikang, di sini, pada Ahad.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 1,000 penduduk setempat dan turut dihadiri Ketua Daerah Tungku, Mohamed Nurun.
Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Hakim turut menekankan kepentingan pendekatan “masuk kampung” dalam pelaksanaan program kemasyarakatan dan keagamaan.
Beliau berkata, pemimpin serta agensi kerajaan perlu lebih kerap turun padang mendekati masyarakat di kampung-kampung berbanding hanya menunggu kehadiran orang ramai ke sesuatu program.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat merapatkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, malah membantu memastikan penyampaian perkhidmatan serta maklumat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. – DAKWAT RAKYAT POST
