SANDAKAN, 7 Julai 2026 – Keberanian dua beradik cilik dari Chinese Taipei beraksi menentang pemain-pemain berpengalaman menjadi antara tarikan utama HMM Chess Rapid Championship Sandakan apabila masing-masing menyertai kategori FIDE Rated walaupun baru berusia empat dan lima tahun.
Ho Che-Ming, 4, dan abangnya, Ho Tse-Ming, 5, membuktikan usia bukan penghalang untuk bersaing di pentas kompetitif apabila tampil memberikan cabaran kepada peserta lain dalam kejohanan yang menghimpunkan pemain tempatan dan antarabangsa.
Penyertaan pasangan adik-beradik itu turut mencuri perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa yang menyifatkan keberanian serta keyakinan mereka sebagai sesuatu yang membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi kepada kanak-kanak lain untuk menceburi sukan catur.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu hingga Ahad itu menerima sambutan memberangsangkan dengan lebih 200 peserta mengambil bahagian. Selain pemain dari seluruh Malaysia, pertandingan berkenaan turut disertai wakil dari Indonesia dan Chinese Taipei, sekali gus menyerlahkan statusnya sebagai kejohanan bertaraf antarabangsa.
Turut menceriakan saingan ialah penyertaan pemain Indonesia, Zaimal Berahima, yang bertanding dalam kategori terbuka dan menambah lagi persaingan sengit dalam kejohanan tersebut.
Dalam saingan kategori terbuka, Ho Che-Ming menamatkan kejohanan di kedudukan ke-116 daripada keseluruhan 125 peserta selepas mengumpul dua kemenangan daripada sembilan pusingan.
Abangnya, Ho Tse-Ming pula menamatkan pertandingan di tangga ke-119 keseluruhan dengan turut merekodkan dua kemenangan daripada sembilan perlawanan yang diharungi.
Walaupun keputusan mereka belum mampu meletakkan nama dalam kelompok terbaik, penyertaan kedua-dua beradik itu pada usia yang begitu muda membuktikan bakat dalam sukan catur boleh dipupuk sejak awal. Semangat juang yang dipamerkan turut menjadi contoh kepada ibu bapa dan generasi muda bahawa pendedahan awal mampu membentuk pemain berpotensi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
Hadir sama memeriahkan kejohanan ialah Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson, Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat Sawit Kinabalu, Noni Dimsin serta Penyelaras Kejohanan, Vensaid Alonto. – DAKWAT RAKYAT POST
