LAHAD DATU, 6 Julai 2026 – Usaha memartabatkan seni batik sebagai warisan budaya terus diperkasakan apabila Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bakau Jaya Baru menganjurkan Program Pengenalan Batik Block dan Shibori yang memberi pendedahan kepada golongan suri rumah mengenai kemahiran seni tekstil kreatif yang berpotensi menjana pendapatan.
Program bertemakan Seni Tradisi Warisan Kita itu menghimpunkan seramai 20 suri rumah dalam bengkel selama dua hari yang berlangsung di Dewan Perpaduan Masjid Nur Jammeh pada 4 dan 5 Julai.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Alnisya Collection dan Eco-Dyeing Textile Craft serta mendapat sokongan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Silam, Masjid Nur Jammeh dan TEKUN.
Penolong Pengarah Perpaduan Daerah Lahad Datu, Norina Jibrail berkata, program berkenaan merupakan penganjuran sulung oleh KRT Kampung Bakau Jaya Baru yang bertujuan memelihara seni warisan batik tradisional, di samping memperkukuhkan hubungan masyarakat melalui aktiviti komuniti.
Menurut beliau, peserta diberikan latihan secara praktikal mengenai teknik asas menghasilkan Batik Block dan Shibori, sekali gus memperkenalkan mereka kepada kemahiran baharu dalam bidang seni tekstil.
Katanya, teknik Batik Block dihasilkan menggunakan blok bercorak yang disalut lilin panas sebelum dicop pada kain bagi menghasilkan corak yang tersusun dan seragam, manakala teknik Shibori pula menggunakan kaedah mengikat serta mencelup kain bagi menghasilkan corak yang unik dan mempunyai nilai estetika tersendiri.
Beliau berkata, penguasaan kedua-dua teknik itu bukan sahaja membantu memelihara warisan seni batik, malah mampu membuka peluang kepada peserta mengembangkan kemahiran dalam bidang kraftangan yang berpotensi dijadikan sumber pendapatan tambahan.
“Program seperti ini memberi ruang kepada suri rumah untuk meningkatkan kreativiti selain meneroka peluang keusahawanan berasaskan produk tekstil dan kraf tempatan,” katanya.
Norina turut memuji komitmen KRT Kampung Bakau Jaya Baru yang disifatkan sebagai antara kawasan rukun tetangga paling aktif di Lahad Datu kerana konsisten melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Beliau berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama itu dan memperluaskannya ke lebih banyak KRT sebagai usaha memperkukuhkan perpaduan masyarakat, memelihara warisan budaya serta memperkasakan ekonomi komuniti.
Turut hadir, Pengerusi KRT Kampung Bakau Jaya Baru, Shariffudin Mappayompa. – DAKWAT RAKYAT POST
