Kuching: Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan rampasan dan sitaan bernilai RM234.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pencapaian itu sekali gus membuktikan keberkesanan usaha membanteras pelbagai bentuk jenayah terhadap khazanah negara.
Beliau berkata, dalam tempoh itu 255 kes direkodkan di seluruh negara membabitkan semua elemen di bawah Jabatan KDNKA dengan seramai 352 individu ditahan bagi membantu siasatan.
“Pencapaian itu bukan sahaja diukur menerusi nilai rampasan yang tinggi, malah mencerminkan kejayaan pihak berkuasa melumpuhkan rangkaian jenayah, mengekang ketirisan hasil negara serta melindungi khazanah dan kepentingan strategik negara melalui pendekatan penguatkuasaan bersepadu,” katanya pada sidang media OBK di sini, hari ini.
Mohd Yusri berkata, dalam tempoh 1 hingga 16 Jun lalu pula, OBK berjaya membuka 70 kertas siasatan dengan penahanan 62 individu di seluruh negara, manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan mencecah RM98.4 juta.
“Operasi itu dilaksanakan secara bersepadu oleh Jabatan KDNKA Bukit Aman bersama beberapa agensi strategik termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain.
“Kerjasama rentas agensi itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan penguatkuasaan jenayah alam sekitar secara lebih menyeluruh dan berkesan bagi memelihara sumber semula jadi negara,” katanya.
Menurutnya, antara rampasan utama sepanjang operasi ialah 16,367 kilogram sarang burung walit, 223 ekor pelbagai spesies burung, lapan ekor burung helang, 7,600 batang anak pokok, 790 biji telur penyu, 4,238 ekor pelbagai spesies kura-kura, 14 mikrocip haiwan, sembilan ekor mamalia, 951 ekor ayam sabung serta 1,673 batang kayu balak.
“Siasatan dijalankan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Wildlife Protection Ordinance 1998, Akta Perikanan 1985, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta Kebajikan Haiwan 2015, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, Peraturan-Peraturan Perikanan, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Antara kesalahan yang dikesan membabitkan pengambilan, pemilikan dan perdagangan hidupan liar tanpa lesen, pelanggaran peraturan perikanan, selain kesalahan imigresen seperti menggajikan pekerja asing tanpa permit sah, bekerja tanpa permit dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Menurutnya lagi, sepanjang operasi berkenaan, polis turut melaksanakan beberapa siri serbuan di lokasi strategik termasuk premis penyimpanan, rumah, kenderaan logistik dan rangkaian pengedaran yang dipercayai digunakan sindiket untuk menjalankan kegiatan haram.
“Kejayaan itu membuktikan keupayaan pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) sebagai peneraju operasi dalam menyelaras tindakan penguatkuasaan bersama semua elemen jabatan serta rakan agensi bagi membanteras jenayah hidupan liar dan alam sekitar di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, di Sarawak sahaja, 10 serbuan dilaksanakan sepanjang tempoh 1 hingga 16 Jun lalu, sekali gus mencatat kejayaan terbesar dalam OBK membabitkan kes sarang burung walit.
“Hasil operasi itu, enam suspek ditahan manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan mencecah RM81.8 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 33(1) dan Seksyen 33(2) Wildlife Protection Ordinance 1998, manakala rampasan dibuat mengikut Seksyen 48(1) ordinan sama,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
