Papar: Kerajaan Persekutuan bersedia meneliti mekanisme yang bersesuaian bagi pelaksanaan kuota subsidi diesel di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah, menerusi kerjasama erat serta maklum balas daripada kerajaan negeri ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi memastikan bantuan terbabit sampai kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman yang menggunakan kenderaan diesel sebagai pengangkutan utama.
Walau bagaimanapun, katanya sebarang penambahbaikan perlu dibuat berdasarkan mekanisme yang bersesuaian.
“Bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara. Sekiranya ada mekanisme yang membenarkan, kita akan melihat perkara itu.
“Perkara yang paling penting ialah kita memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri.
“Melalui usaha sama dengan kerajaan negeri untuk memberi maklum balas, kita boleh usahakan mekanisme yang sepatutnya kepada mereka yang terkesan.
“Proses ini mungkin mengambil masa untuk memastikan mekanismenya betul, tetapi kita tetap akan mempertimbangkannya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Mikro Kredit Turun Padang bertempat di Pasar Tamu Papar, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis merangkap Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra, Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.
Amir Hamzah berkata, bagi kenderaan diesel yang digunakan untuk perniagaan seperti perkhidmatan pengangkutan penumpang atau membawa barangan, pengusaha boleh memohon kuota yang lebih tinggi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, melalui penggunaan kad fleet, jumlah kuota diesel boleh dinilai dan disesuaikan mengikut keperluan operasi perniagaan.
“Bagi penggunaan persendirian, kuota asas ialah 200 liter dengan tambahan sehingga 100 liter melalui permohonan.
“Bagaimanapun, jika kenderaan itu digunakan sebagai pengangkutan utama penduduk seperti kereta sewa atau kereta tambang di kawasan pedalaman, ia boleh dikategorikan sebagai penggunaan perniagaan dan layak memohon SKDS,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus menilai setiap cadangan yang dikemukakan bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dapat memenuhi keperluan sebenar rakyat tanpa menjejaskan matlamat mengurangkan ketirisan subsidi.
Sementara itu Amir Hamzah berkata, pelaksanaan subsidi diesel bersasar setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Katanya, hampir 200,000 permohonan pemilik kenderaan diesel untuk tambahan 100 liter, menjadikan 300 liter telah diluluskan.
Kredit sumber: Harian Metro
