LAHAD DATU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan projek menaik taraf 18 kompleks sukan di seluruh negeri secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan sukan serta menyediakan kemudahan yang lebih moden dan berkualiti kepada atlet serta bakat muda.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap fasiliti sukan berada dalam keadaan terbaik bagi menyokong pembangunan atlet di semua peringkat.
Menurut beliau, kemudahan sukan yang lengkap bukan sahaja penting untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah turut menggambarkan imej dan kredibiliti kementerian dalam memacu pembangunan sukan di Sabah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Liga Bola Sepak Kelab Cahaya Mulia (CMC FC) Edisi Ke-4 yang berlangsung di Kompleks Sukan Lahad Datu, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Nizam berkata kementeriannya akan mengadakan lawatan rasmi ke Kompleks Sukan Lahad Datu dan bangunan Arena Belia pada 11 Julai ini bagi menilai sendiri keadaan semasa kedua-dua kemudahan tersebut sebelum kerja-kerja penaiktarafan dilaksanakan.
Katanya, penilaian itu penting bagi mengenal pasti keperluan sebenar supaya pelaksanaan projek dapat memenuhi keperluan pengguna serta meningkatkan mutu kemudahan yang disediakan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan berskala besar turut dirancang di Kompleks Sukan Likas yang melibatkan naik taraf padang rumput dan sistem pencahayaan, manakala Kompleks Sukan Tawau akan diberi perhatian khusus bagi memenuhi spesifikasi penganjuran perlawanan Liga Super Malaysia (MSL).
Beliau berkata, penyediaan infrastruktur sukan yang lebih berkualiti diyakini mampu merancakkan lagi penganjuran kejohanan di peringkat akar umbi, termasuk Liga Bola Sepak CMC FC di Lahad Datu, selain menjadi platform mencungkil lebih ramai bakat muda dalam arena bola sepak.
Tambah beliau, kerajaan negeri percaya pelaburan berterusan dalam pembangunan fasiliti sukan akan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai atlet dan pemain bola sepak Sabah yang mampu bersaing di peringkat profesional serta mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa. – DAKWAT RAKYAT POST
