SHAH ALAM: Dianggarkan ratusan penempatan haram yang mungkin didiami ribuan warga asing terus wujud di kawasan pinggir bandar raya ini meskipun serbuan dan tindakan penguatkuasaan sudah berkali-kali dijalankan.
Warga asing yang rata-ratanya didakwa warga Indonesia tidak gentar, malah berani membuka penempatan baharu berhampiran lokasi asal bagi membolehkan mereka terus tinggal secara percuma dan memaksimumkan pendapatan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam dan Jalan Hamzah, Kampung Budiman di sini mendapati ada penempatan haram dibina di kawasan ladang kelapa sawit, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan penguatkuasaan berterusan dilakukan.
Walaupun sebahagian besar rumah-rumah kongsi sudah dirobohkan susulan serbuan dan tindakan pihak berkuasa pada April lalu, masih ada yang berdegil terus tinggal di sana. Bahkan terdapat warga asing yang membina pondok baharu daripada sisa kayu dan papan dari rumah yang sudah dirobohkan.
Sementara itu, pemerhatian di Jalan Hamzah, Kampung Budiman, Seksyen U14 yang sebelum ini didedahkan mempunyai empat struktur penempatan haram dan sudah lebih dua kali diserbu pihak berkuasa masih kukuh berdiri dengan ekosistem komunitinya lengkap dengan surau, kedai runcit dan warung kecil seperti pernah dilaporkan pada Januari 2024.
Lebih mengejutkan, ketika usaha penjejakan dibuat terhadap lorong-lorong tikus di kawasan belukar antara Jalan Hamzah, Kampung Budiman dengan Persiaran Setia Makmur, terdapat penempatan baharu ditemukan berdekatan dengan Pangsapuri De Bayu.
Rumah kongsi itu begitu tersorok apabila terletak di dalam gaung sejauh lebih 10 meter dari jalan utama. Ia terdiri daripada sekurang-kurangnya empat pintu dan sebuah pondok bertutup dengan langsir dipercayai dijadikan tempat tinggal.
Tinjauan di kawasan tersebut turut mendapati terdapat lebih daripada lima sambungan paip dipercayai haram yang membekalkan air bersih di situ dan penempatan haram sedia ada di Jalan Hamzah. Paip tersebut dipercayai disambung dari kawasan perbandaran di Setia Alam melalui parit tertutup bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Malah, salah satu daripadanya bersambung dengan penempatan baharu terbabit sebagai tempat mandi dan mencuci pakaian.
Keadaan itu seolah-olah menunjukkan pendatang asing berkenaan tidak akan berganjak keluar dari kawasan berkenaan walaupun serbuan oleh pihak berkuasa dilakukan, sebaliknya mereka mendirikan penempatan baharu pula sebagai ganti rumah yang sudah dirobohkan.
Seorang penduduk tempatan di Pangsapuri Seri Jati, Luqman Hakim, 36, berkata penempatan haram di dua kawasan tersebut bukan lagi suatu rahsia, sebaliknya diketahui umum oleh penduduk sekitar.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya robohkan sahaja keseluruhan kawasan dan kos tersebut dikenakan kepada pemilik asal tanah. Serbuan sudah pun dibuat banyak kali, baru-baru ini pun pernah kecoh dalam kalangan penduduk apabila pihak berkuasa serbu secara besar-besaran,” katanya.
Beliau yang sudah tinggal di situ lebih 10 tahun berkata, sebahagian warga asing juga dilihat bekerja di kawasan sekitar sebagai pekerja pembinaan atau pembersihan.
Menurutnya, jika tidak dibanteras secara menyeluruh, ia dibimbangi memberi kesan kepada lebih 10 kawasan perumahan berhampiran termasuk pengaruh tidak baik kepada anak-anak dan risiko jenayah.
Seorang pesara swasta, Ahmad Faizal, 58, pula mendakwa warga asing di kawasan itu bersikap seolah-olah berada di negara sendiri dan tidak mengendahkan penduduk sekitar.
“Saya pernah dengar ada sabung ayam dalam kawasan itu, mereka berjudi. Kemudian ada surau, boleh solat Jumaat. Yang berjudi, yang solat, mereka buat macam dekat negara sendiri,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Farid Musa, 47, berkata jika dron diterbangkan di kawasan berkenaan, rumah kongsi yang ditutup dengan pagar zink dapat dilihat dengan jelas.
April lalu, akhbar ini melaporkan 356 warga asing diperiksa selepas tiga kawasan penempatan haram termasuk berhampiran tanah perkuburan Cina dan ladang kelapa sawit di Persiaran Setia Makmur serta Jalan Hamzah.
Malah, 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) pernah ditahan dari penempatan haram di Kampung Budiman selepas serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bersama agensi lain pada Februari 2024.
Kredit sumber: UTUSAN
