TAWAU, 9 Julai 2026 – Sebanyak 531 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh Sabah, manakala lebih 50 kes dilaporkan berlaku di daerah Tawau, sekali gus mendorong kerajaan negeri mempergiat usaha advokasi dan kesedaran bagi membantu mangsa mendapatkan perlindungan sewajarnya.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata, isu keganasan rumah tangga merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal, malah turut memberi tekanan terhadap emosi dan kesihatan mental mangsa.
Menurut beliau, terdapat kemungkinan jumlah sebenar kes lebih tinggi berikutan masih terdapat mangsa yang tidak tampil membuat laporan atas pelbagai faktor termasuk ketakutan, tekanan keluarga serta kekangan tertentu.
Katanya, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk memperluaskan program kesedaran dan advokasi kepada masyarakat di semua peringkat supaya mereka memahami bentuk keganasan rumah tangga serta mengetahui saluran bantuan yang boleh digunakan.
“Untuk daerah Tawau sahaja yang telah direkodkan, yang dilaporkan adalah merupakan 50 lebih kes dan di seluruh Sabah adalah lebih kurang 531 kes yang dilaporkan. Kita juga perlu mengambil kira kemungkinan terdapat kes yang tidak dilaporkan.
“Ini adalah angka yang perlu diberikan perhatian dan program kesedaran serta advokasi seperti ini perlu sentiasa diwar-warkan kepada masyarakat supaya bantuan daripada jabatan dan agensi berkaitan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Advokasi Keganasan Rumah Tangga PRISMANITA Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Rina berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah memperkenalkan pendekatan baharu termasuk penyediaan bantuan kewangan kepada mangsa keganasan rumah tangga sebagai usaha membantu mereka membina semula kehidupan dan keluar daripada situasi yang sukar.
Menurutnya, sebahagian mangsa memilih untuk terus berada dalam keadaan berisiko disebabkan faktor kewangan, tekanan keluarga atau kurang pengetahuan mengenai bantuan yang tersedia.
Bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa diberi perhatian, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk perkhidmatan kaunseling, bantuan psikologi serta khidmat nasihat berdasarkan situasi yang dilaporkan.
Kerajaan negeri turut menyeru mangsa agar tidak berdiam diri dan segera mendapatkan bantuan daripada saluran yang disediakan, manakala masyarakat pula digesa memainkan peranan sebagai pihak yang prihatin dengan melaporkan sebarang tanda keganasan rumah tangga.
Usaha berterusan itu diharap dapat memperkukuhkan perlindungan terhadap mangsa serta membendung kes keganasan rumah tangga daripada terus berlaku dalam komuniti. – DAKWAT RAKYAT POST
