Screenshot
KOTA KINABALU: Seramai 103 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Keningau, Sandakan dan Tawau.
Pengarah Imigresen Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi berkenaan dilaksanakan menerusi beberapa siri tindakan penguatkuasaan termasuk Ops Kutip, Ops Belanja, Ops Jaja, Ops Sapu, Ops Selera serta Ops Bersama Agensi Penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
Beliau berkata, di Kota Kinabalu seramai 94 individu telah diperiksa dengan 32 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63. Mereka yang ditahan membabitkan warga Filipina, Indonesia, Pakistan dan India.
“Di Keningau pula, seramai 77 individu diperiksa menerusi Ops Sapu dan Ops Kutip, dengan 21 warga asing ditahan terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Di Sandakan, operasi yang dijalankan bersama agensi penguatkuasaan lain memeriksa 68 individu dan menahan 28 warga asing terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia. Sementara itu di Tawau, seramai 261 individu diperiksa dengan 22 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, secara keseluruhannya seramai 500 individu telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan, manakala 103 warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan berkaitan.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara.
“Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen. Kami turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang berada di negara ini secara tidak sah kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras PATI. Sebarang maklumat berkaitan kehadiran warga asing yang disyaki melanggar undang-undang boleh disalurkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.
