LAHAD DATU, 9 Julai 2026 – Seramai 32 peserta dari pelbagai negeri di Malaysia serta beberapa negara luar menyertai Island Survival & Remote Medical Responder Course 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Pulau Tabawan, Teluk Darvel, dari 4 hingga 6 Julai lalu.
Program berintensiti tinggi itu dikendalikan oleh 12 jurulatih dan fasilitator berpengalaman dalam bidang perubatan kecemasan, wilderness medicine, bushcraft serta operasi mencari dan menyelamat, dengan matlamat memperkukuh keupayaan petugas menghadapi situasi kecemasan di kawasan pedalaman dan lokasi yang serba kekurangan.
Kursus berkenaan dianjurkan oleh Wilderness EMS Sabah Team, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu dengan kerjasama Wilderness and Austere Medicine Society (WAMS) Malaysia, Wilderness Medicine Special Interest Group, College of Emergency Physicians Malaysia (MyCEP), Malaysia Instructor of Bushcraft & Survival Association (MIBSA), Survival Instructor World Association (SIWA) serta WildMed Solutions.
Berbanding latihan perubatan biasa, kursus ini menggabungkan kemahiran rawatan kecemasan dengan teknik survival bagi membolehkan peserta berdepan cabaran sebenar ketika menjalankan tugas di kawasan hutan, pulau terpencil, lokasi bencana dan kawasan yang sukar diakses.
Bagi mewujudkan suasana operasi sebenar, peserta hanya dibekalkan dengan catuan makanan yang terhad sepanjang latihan. Mereka turut didedahkan dengan pelbagai kemahiran penting termasuk membina tempat perlindungan sementara, mendapatkan sumber air bersih, merawat air yang tercemar supaya selamat diminum, mengenal pasti sumber makanan di hutan dan laut, menggunakan kompas serta sistem GPS untuk navigasi selain menguasai teknik komunikasi di kawasan tanpa liputan telekomunikasi.
Dalam aspek perubatan pula, latihan memberi penekanan kepada pengendalian pelbagai kes kecemasan yang lazim berlaku di kawasan terpencil seperti strok haba, hipotermia, gigitan ular, kecederaan trauma, insiden lemas, rawatan lapangan berpanjangan (prolonged field care) serta operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.
Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu, Dr Muis Takim berkata, pihaknya komited membangunkan latihan berkaitan perubatan kecemasan di kawasan liar, pedalaman dan kurang sumber sejak tahun 2015.
Menurut beliau, faktor geografi Lahad Datu yang dikelilingi hutan, pulau, kawasan perairan serta penempatan terpencil menjadikan daerah itu lokasi sesuai untuk memperkembangkan kepakaran dalam bidang wilderness medicine.
Katanya, latihan berterusan bukan sahaja meningkatkan keupayaan petugas kesihatan menghadapi cabaran operasi di Sabah, malah menyediakan mereka untuk terlibat dalam misi kemanusiaan, pengurusan bencana dan operasi menyelamat di seluruh negara.
Sementara itu, Felo Wilderness, Emergency & Extreme Medicine, Dr Muhamad Na’im Ab Razak berkata, petugas yang bertugas di kawasan pedalaman memerlukan kemahiran yang melangkaui pengetahuan klinikal semata-mata.
Beliau menjelaskan bahawa berbeza dengan persekitaran hospital yang mempunyai bekalan elektrik, oksigen, ubat-ubatan serta peralatan lengkap, operasi di kawasan hutan, pulau terpencil atau lokasi bencana memerlukan petugas mengetahui cara untuk terus hidup, melindungi diri dan memastikan pesakit menerima rawatan walaupun berdepan kekurangan sumber.
Katanya lagi, dalam keadaan cuaca ekstrem seseorang hanya mampu bertahan sekitar tiga jam tanpa perlindungan yang sesuai, manakala proses membawa keluar pesakit dari kawasan pedalaman boleh mengambil masa berjam-jam sehingga beberapa hari bergantung kepada cuaca, bentuk muka bumi dan kemudahan pengangkutan.
“Oleh sebab itu, petugas perlu menguasai konsep rawatan lapangan berpanjangan di samping memastikan keperluan asas seperti air, makanan, perlindungan dan keselamatan pesakit sentiasa diberikan keutamaan.
“Apabila bekalan makanan dan air semakin berkurangan, kemahiran mendapatkan sumber air bersih serta makanan daripada persekitaran mampu meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa, selain memastikan pasukan penyelamat kekal berfungsi sepanjang operasi,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa perubahan iklim, pertambahan aktiviti rekreasi luar, peningkatan kejadian bencana serta operasi di kawasan terpencil menjadikan keperluan terhadap petugas yang memiliki kemahiran wilderness medicine semakin penting di negara ini.
Sepanjang program berlangsung, beberapa peserta mengalami kecederaan ringan seperti melecur, kecederaan pada mata, luka kecil, terseliuh dan sakit otot akibat aktiviti latihan. Bagaimanapun, semua mereka menerima rawatan segera daripada pasukan perubatan di lapangan sebelum dirujuk ke Hospital Lahad Datu sebagai pesakit luar.
Penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pembangunan profesional kepada petugas kesihatan, anggota penyelamat, pasukan beruniform dan komuniti aktiviti luar, sekali gus memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi kecemasan di kawasan pedalaman, kurang sumber serta persekitaran yang mencabar. – DAKWAT RAKYAT POST
