TAWAU: Komitmen terhadap kebajikan masyarakat terus menjadi keutamaan apabila Ketua Cabang KEADILAN Tawau merangkap Naib III Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Fung Thin Yein, mengadakan lawatan ziarah kasih ke kediaman seorang penduduk yang kini sedang menjalani rawatan susulan masalah kesihatan.
Lawatan tersebut diadakan sebagai tanda keprihatinan terhadap keadaan penerima selain memberi sokongan moral kepada beliau dan ahli keluarga yang sedang berdepan cabaran.
Turut mengiringi lawatan itu ialah barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) KEADILAN Cabang Tawau, wakil Angkatan Muda KEADILAN (AMK) serta beberapa anggota parti yang bersama-sama menyertai misi kebajikan berkenaan.
Dalam kunjungan itu, sumbangan turut disampaikan kepada penerima sebagai usaha membantu meringankan beban yang ditanggung, di samping menyampaikan kata-kata semangat agar beliau terus cekal dan tabah menjalani proses rawatan.
Fung berkata, program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan KEADILAN Cabang Tawau dalam menyantuni golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, selaras dengan usaha memperkukuh budaya prihatin dalam masyarakat.
Menurutnya, pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan lebih ramai penduduk yang memerlukan mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
Beliau turut mendoakan agar penerima dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan serta terus diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian yang sedang ditempuhi. – DAKWAT RAKYAT POST
