Klang: Segelintir warga asing dikesan mengunyah sirih yang dicampur dengan dadah jenis syabu dipercayai untuk mendapatkan ‘kick’ atau kesan khayal yang luar biasa.
Taktik licik itu terbongkar selepas pihak berkuasa menemui bahan terlarang berkenaan yang dijual secara sembunyi di sebuah gerai berhampiran ‘Bus Stand Klang’ di Jalan Kepayang di sini, hari ini.
Penemuan mengejutkan itu dikesan ketika serbuan besar-besaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dan Putrajaya bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan tumpuan berkenaan.
Menurut sumber, pemeriksaan teliti anggota penguat kuasa di kawasan sekitar terminal bas terbabit membawa kepada penemuan paket dadah disyaki syabu bersama bungkusan sirih.
Difahamkan, gerai terbabit bukan sahaja menjual sirih sebagai kunyahan harian yang popular dalam kalangan warga asing, malah disyaki turut membekalkan syabu kepada ‘pelanggan tetap’ di situ.
“Sindiket atau penjaja di kawasan ini dikesan menggunakan taktik menjual sirih bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun secara rahsia mereka turut menawarkan syabu.
“Pemeriksaan mendapati dadah berkenaan digunakan bersama sirih oleh warga asing terbabit bagi memberikan kesan khayal yang lebih kuat,” kata sumber.
Berikutan penemuan itu, pihak berkuasa merampas semua dadah serta bahan jualan di gerai berkenaan untuk tindakan lanjut.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, penjaga premis berjaya melarikan diri.
“Siasatan terperinci kini sedang dijalankan bagi mengesan dalang utama serta rangkaian pengedaran dadah berselindung di sebalik perniagaan sirih di kawasan tumpuan awam itu,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
