Sandakan, 14 Julai 2026 – Dua wanita berjaya diselamatkan selepas terperangkap di dalam sebuah lif di tingkat enam Wisma Persekutuan Sandakan, Batu 7 selama kira-kira 35 minit akibat gangguan bekalan elektrik yang berlaku secara tiba-tiba pada Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt. (PA) Sulaiman Salama berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 7.32 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
Menurut beliau, sebaik sahaja pasukan tiba di lokasi, bekalan elektrik telah kembali pulih. Bagaimanapun, pintu lif masih tidak dapat dibuka menyebabkan kedua-dua mangsa terus terperangkap di dalamnya.
“Menurut maklumat yang diberikan oleh salah seorang mangsa, mereka berada di dalam lif selama kira-kira 35 minit sebelum berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, sepanjang operasi menyelamat dijalankan, anggota APM sentiasa berhubung dengan kedua-dua mangsa bagi memastikan mereka berada dalam keadaan tenang selain memaklumkan perkembangan usaha menyelamat yang sedang dilaksanakan.
Katanya, pasukan penyelamat menggunakan sebuah peralatan jenis spreader cutter bagi membuka pintu lif yang gagal berfungsi.
“Hasil tindakan pantas anggota di lokasi, pintu lif berjaya dibuka dan kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau memaklumkan operasi ditamatkan selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan terkawal.
Dalam pada itu, Kapt. Sulaiman menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya berdepan situasi terperangkap di dalam lif.
Sebaliknya, beliau menggesa orang ramai segera menghubungi pihak pengurusan bangunan atau talian kecemasan bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan segera serta mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. – DAKWAT RAKYAT POST
