Georgetown: “Saya bukan pekerja (kedai runcit), datang ke sini kerana mahu beli barang,” demikian dakwa lelaki warga asing ketika diperiksa penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam satu serbuan premis di Jalan Dato Keramat, di sini, hari ini.
Warga Bangladesh yang mendakwa bekerja di hotel itu turut menangis dan merayu meminta dilepaskan ketika pemeriksaan dijalankan.
Bagaimanapun taktik itu tidak menjadi selepas pemeriksaan dan siasatan awal dilakukan di lokasi.
Pengarah Imigresen negeri, Syamsul Fitry Ahmad berkata, ia antara ‘drama’ yang biasa dilihat ketika operasi dijalankan.
Katanya, keseluruhan sebanyak empat premis diserbu ketika operasi yang bermula jam 9 pagi itu membabitkan pemeriksaan terhadap seramai 35 warga asing.
“Seramai 21 daripada jumlah itu ditahan yang mana 15 adalah warga India dan masing-masing tiga dari Myanmar dan Bangladesh.
“Mereka yang berusia antara 18 hingga 51 tahun itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Jawi bagi siasatan lanjut dan tindakan susulan,” katanya ketika ditemui media di lokasi, hari ini.
Operasi yang dijalankan serentak di seluruh negara itu membabitkan seramai 17 anggota termasuk daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.
Selain di Jalan Dato Keramat, dua lagi pemeriksaan masing-masing dijalankan di premis makanan di Georgetown dan Pulau Tikus.
Syamsul Fitry berkata, kesalahan yang dikenal pasti setakat ini ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan lain-lain lagi mengikut Akta Imigresen.
Katanya, sebanyak lima borang saman pada saksi juga sudah dikeluarkan bagi membantu siasatan.
“Operasi ini dijalankan hasil daripada risikan serta aduan yang diterima dan ada yang tidak mengaku bekerja di situ ketika pemeriksaan dilakukan.
“Selain pelbagai alasan, kita dapati ada yang sudah lebih tiga tahun tinggal lebih masa di sini selepas masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial dan tidak pulang ke negara asalnya,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
