KENINGAU, 15 Julai 2026 – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dijadual merasmikan Program NeuroHope di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor pada 18 Julai ini, sekali gus menyokong usaha memperkasakan kesedaran mengenai neurodiversiti, pendidikan khas dan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran bersama Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor dan Unit Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Bingkor itu dijangka menjadi antara program kesedaran neurodiversiti terbesar pernah diadakan di daerah Keningau serta yang pertama seumpamanya di Sabah.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, NeuroHope diwujudkan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai neurodiversiti di samping memperkukuh sokongan terhadap individu neurodivergen serta keluarga mereka.
Menurut beliau, idea penganjuran program itu dicetuskan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau, Rafie Robert, sebelum mendapat sokongan penuh daripada Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Bingkor, Dr Velerie Wheelervon Petrus.
Katanya, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam aspek pendidikan khas, neurodiversiti dan kesihatan mental, selain menggalakkan pembentukan komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan menyokong perkembangan individu berkeperluan khas.
Beliau berkata, penyertaan adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru, pelajar serta penduduk setempat yang ingin menambah pengetahuan mengenai pendidikan khas dan kesejahteraan mental.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah disusun termasuk Jualan Rahmah, pemeriksaan dan saringan kesihatan, pemeriksaan mata serta pameran melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Keningau dan beberapa agensi berkaitan.
Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan tiket bertuah, menikmati persembahan kebudayaan, persembahan khas artis tempatan Rosaria Bianus serta mengunjungi pelbagai gerai jualan yang disediakan.
NeuroHope juga akan menampilkan beberapa sesi perkongsian ilmu oleh pakar, antaranya ceramah bertajuk Embracing Neurodivergence dan Kesihatan Mental Ibu Bapa yang akan disampaikan oleh Pakar Psikiatri Hospital Keningau, Dr Isabella Rosselline.
Selain itu, Unit Terapi Carakerja Hospital Keningau akan mengendalikan sesi terapi carakerja, manakala Dr Velerie Wheelervon Petrus akan berkongsi pendekatan pembelajaran serta kaedah pengajaran yang berkesan bagi membantu murid berkeperluan khas mengembangkan potensi mereka.
Mengulas mengenai kehadiran Ketua Menteri, Hj Yazid berkata ia merupakan satu penghormatan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berkata, kesudian Hajiji hadir merasmikan NeuroHope mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong usaha memperkukuh kesedaran mengenai pendidikan khas, neurodiversiti dan kesihatan mental, selain memberi perhatian kepada kebajikan golongan berkeperluan khas serta keluarga mereka.
Katanya lagi, kehadiran Ketua Menteri dijangka memberi suntikan semangat kepada ibu bapa, guru, petugas kesihatan, sukarelawan dan masyarakat untuk terus berganding bahu membina komuniti yang lebih inklusif, penyayang serta menghargai kepelbagaian keupayaan setiap individu.
Pada masa sama, pihak penganjur berharap Program NeuroHope dapat dijadikan platform berterusan bagi mengeratkan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam memperjuangkan kesejahteraan serta pembangunan potensi individu neurodivergen di Sabah.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program itu dijemput hadir ke Dewan SK Bingkor pada 18 Julai ini. – DAKWAT RAKYAT POST
